Perjuangan menegakkan bangsa (assobiah) adalah perjuangan kaum jahiliah.


Oleh: Kalambatu

"Mengapa orang Melayu yang mengaku berugama Islam masih lagi memilih pemimpin yang memperjuangkan assobiah fahaman tinggalan zaman jahiliah? Malah ada juga yang berpendapat memperjuangkan suku bangsa (assobiah) tidak bercanggah dengan ajaran Islam kerana tidak menzalimi orang lain. Lantaran itu, berlakukan perlakuan cantas-mencantas sesama mereka didalam pertubuhan kebangsaan mereka.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya, "Bukan dari golongan ku (umat Islam) sesiapa yang menyeru kepada Assobiah dan bukan dari golongan ku sesiapa yang mati atas jalan Assobiah" (Hadis riwayat Abu Daud).

Dengan hanya menyeru kepada Assobiah pun susah mencukupi untuk sesaorang itu terkeluar dari umat Nabi Muhammad saw. Inikan pula meletakkan perjuangan atau nama suku kaum seperti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO-BN), Persatuan China Muslim (MACMA), Persatuan India Muslim (PERMIM), Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) dan macam-macam lagi yang kesemuanya mengaku Islam tetapi pada hakikatnya masing-masing memperjuangkan kepentingan suku bangsa masing-masing. Mengapa tidak menjadikan Islam sebagai teras perjuangan seperti menamakan persatuan itu sebagai Pertubuhan Islam Malaysia, Persatuan Islam Malaysia, Kongres Islam Malaysia atau seumpamanya, yang tidak langsung menyentuh tentang suku bangsa?

Dalam hadith yang lain, Rasulullah saw menjelaskan maksud ”assobiah” melalui sabdanya yang mafhumnya, " Assobiah ialah jika kamu membantu kaum kamu diatas kezaliman" (Riwayat Abu Daud).

Kedua-dua hadith diatas jelas mengaitkan antara assobiah dengan kezaliman. Perjuangan menegakkan suku bangsa biasanya tidak terlepas dari berlakunya kezaliman keatas suku bangsa yang lain. Apatah lagi bila maksud assobiah dirujuk sebagai ”kaum kamu”. Ia boleh sahaja bermaksud diantara satu puak dengan satu puak, antara satu kumpulan dengan satu kumpulan, atau antara kaum kerabat (satu kroni) dengan kroni yang lain. Kezaliman disini bermaksud: Tidak memberikan sesuatu itu haknya yang sebenar. Hak yang hakiki adalah menjalani kehidupan dengan bertuhankan Allah, dan menyeru manusia supaya bertuhankan Allah (amal maaruf nahi mungkar), atau sekurang-kurangnya hak untuk mendengar seruan kepada agama Allah.

Sekiranya ada sekumpulan manusia menyeru kepada agama Allah dan mereka itu dihalang-halangi untuk berbuat demikian oleh sesuatu puak, bermakna mereka telah dizalimi oleh puak yang zalim. Inilah yang berlaku terhadap pendokong PAS yang dizalimi dari dulu sehingga kini.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang mafhumnya: ”Tolonglah saudaramu, baik ia orang yang zalim, mahupun yang dizalimi. Seorang sahabat bertanya, wahai Rasulullah, kami tahu untuk menolong orang yang dizalimi, tetapi bagaimana untuk kami menolong orang yang zalim? Rasulullah saw menjawab: kamu tegahlah ia daripada melakukan kezaliman”

Allah berfirman yang tercacat dalam surat hud, ayat 113 yang mafhumnya: ”Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan”.

Dalam mentafsirkan ayat ini, Ulama tafsir menjelaskan bahawa memadai dengan hanya adanya kecenderungan kepada orang zalim, sudah mencukupi untuk orang tersebut dimasukkan kedalam neraka, inikan pula jika orang itu benar-benar melakukan kezaliman.

Tidakkah dengan mengundi atau melantik orang-orang yang memperolok-olokkan hukum-hakam Allah sebagai pemimpin atau wakil rakyat sudah memadai bagi Allah untuk mencampakkan orang itu kedalam neraka? Tidakkah menakut-nakut orang-orang bukan Islam dengan hukum hudud bukan suatu kezaliman? Bukankah dengan mengatakan: ”Apa akan jadi bila PAS mendapat kuasa? PAS kini sudah sampai kekawasan-kawasan FELDA, mereka kata mahu menubuhkan Negara Islam. Mereka kata mahu undang-undang yang akan memotong tangan kamu jika mencuri” bukan suatu kezaliman. Bukankah dengan adanya kecenderungan menyokong orang yang berlaku zalim seperti ini suatu kezaliman seperti yang dimaksudkan oleh ayat diatas? Tidakkah Allah telah memberi amaran akan mencampakkan kedua-dua golongan ini, orang yang menyokong dan orang yang melakukan kezaliman, kedalam Neraka? Mengapa kecoh bila ada yang mendakwa jika menyokong UMNO-BN masuk Neraka?

Kita sepatutnya sedar bahawa memperjuangkan suku bangsa adalah amalan orang-orang di zaman jahiliah. Jihiliah disini bukan bermaksud bodoh, buta huruf atau kaum yang tidak bertamaddun. Perlu ditegaskan, semasa zaman jahiliah, orang-orang Arab cukup maju dalam kesusasteraan Arab. Sebab itu apabila Al-Quran diturunkan, mereka cukup terpesona dengan keindahan bahasa Al-Quran. Maksud jahiliah disini adalah jahil dari mengenal Allah, tuhan yang menciptakan Alam. Alam bermaksud segala sesuatu yang baru.

UMNO-BN beria-ia mendabek dada mendakwa ia parti yang memperjuangkan ”Islam yang sebenar”. Dalam masa yang sama ia juga beria-ia benar menonjolkan diri sebagai pejuang bangsa Melayu. Dari kata-kata pemimpin-pemimpin UMNO dari dulu hingga sekarang, mereka akan melaungkan perjuangan untuk memertabadkan bangsa (istilah sekarang ini negara bangsa) dan Agama. Sedangkan memperjuangkan suku bangsa adalah amalan orang-orang di zaman jahiliah.

Dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13 Allah telah berfirman yang mafhumnya, ”Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)..... ”

Dalam ayat ini, dapat difahamkan bahawa Allah tidak melarang kita memperjuangkan puak atau suku bangsa masing-masing. Tetapi dalam masa yang sama Allah juga tidak menyuruh kita memperjuangkan puak atau suku bangsa masing-masing. Apa yang Allah suruh adalah ”supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu sama lain”. Apabila Allah tidak melarang dan tidak pula menyuruh untuk berbuat sesuatu, maka jika ia dilakukan juga bermakna usaha tersebut sia-sia disisi Allah, tidak mendapat redo dan rahmat Allah.

Seterusnya dalam ayat tersebut, Allah berfirman yang mafhumnya ”Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).....” Inilah sebenarnya yang disuruh oleh Allah iaitu menjadi orang yang bertakwa, bukan memperjuangkan suku bangsa. Bertakwa bermaksud takut yang menyebabkan ia tunduk dan patuh kepada segala yang diperintahkan oleh Allah secara total.

Dengan yang demikian, apakah benar pemimpin-pemimpin UMNO-BN memperjuangkan ”Islam yang sebenar”? Adakah ahli-ahli PAS dan pemimpin-pemimpin PAS memperjuangkan ”Islam yang tidak benar”? Adakah hukum hudud yang sering dijadikan modal dalam pilihan raya bagi menakut-nakutkan orang bukan Islam dan orang Islam sendiri adalah ciptaan atau tafsiran PAS seperti yang didakwa oleh sesetengah pemimpin-pemimpin UMNO-BN?

Cuba renung firman Allah dalam surah Al-Maaidah, ayat ke 38, yang mafhumnya; Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Berdasarkan ayat ini, adakah hukum potong tangan merupakan hukum yang yang direka-reka oleh pemimpin-pemimpin PAS? Ingatlah amaran Allah dalam surah Al-An’aam ayat 93 yang mafhumnya; ”Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah, atau orang yang berkata: "Telah diberi wahyu kepadaku", padahal tidak diberikan sesuatu wahyu pun kepadanya; dan orang yang berkata: "Aku akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah". Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan "sakratul-maut" (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): "Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya".

Dalam Surah Al-Hujurat, ayat 14 pula Allah berfirman yg mafhumnya, ”Orang-orang " A'raab" berkata: " Kami telah beriman". Katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` kami telah Islam '.... ”

Ayat ini sesuai sangat dengan keadaan Pemimpin-Pemimpin UMNO dari dulu hingga sekarang. Mereka hanya sekadar mengaku Islam tetapi belum lagi beriman atau iman belum lagi meresap masuk kedalam hati dan sanubari mereka. Sekiranya mereka beriman pastinya mereka akan memperjuangkan Islam seperti yg diperjuangkan oleh ahli-ahli PAS dari dulu, kini dan selamanya. Sekiranya mereka beriman, pastinya mereka tidak akan memperlekeh, memperolok-olok undang-undang dan peraturan-peraturan yang diturunkan oleh Allah yang sedia terpelihara didalam Al-Quran. Lebih teruk lagi, ada antara mereka yang mengatakan undang-undang hudud itu ciptaan pemimpin-pemimpin PAS. Kalau begitulah keadaannya, adakah pemimpin-pemimpin UMNO-BN ini masih lagi Islam? Adakah orang-orang Melayu amnya menyedari hakikat ini?? Atau mereka turut membenarkan apa yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin (UMNO-BN) mereka?? Kalau begitulah natijahnya, bermakna mereka ini sebenarnya jahil tentang Islam. Sayangnya mereka tidak menyedari apatah lagi mengakui kejahilan diri.

Fakta ini jelas. Ia terbukti dari perlakuan-perlakuan mereka dimutakhir ini. Peristiwa mengarak kepala lembu, kekecohan isu penggunaan istilah ”Allah” oleh penganut ugama lain, menentang wakil rakyat bukan Islam berucap dimasjid, mempertikaikan orang bukan Islam membaca tafsir Al-Quran dan memandang serong apabila orang bukan Islam mengambil hujjah dari Al-Quran, dan macam-macam lagi. Adakah itu yang difahami oleh pemimpin-pemimpin UMNO-BN dan orang-orang Melayu pendokong perjuangan assobiah tentang Islam?

Apa yang dilakukan oleh Pemimpin-Pemimpin UMNO-BN dari dulu hingga sekarang sesuai benar dengan firman Allah dalam Surah Al-Balad, ayat 6 yang mafhumnya, ”Manusia yang demikian keadaannya (tidaklah patut ia bermegah-megah dengan kekayaannya dan) berkata: "Aku telah habiskan harta benda yang banyak (dalam usaha menegakkan nama dan negara bangsa)”. Secara mudah, mereka meletakkan fahaman memperjuangkan kebendaan atau ekonomi sebagai teras untuk mencapai kersejahteraan hidup didunia. Kepatuhan kepada ajaran Islam dilihat dari sudut material seperti pembinaan masjid yang besar-besar dan indah, pembinaan monumen atau bangunan yang berasaskan ”senibina Islam” , pembinaan taman-taman tema tamadun Islam yang diwar-warkan sebagai bukti pemerintah memperjuangkan Islam dan seumpamanya.

Pendidikan Islam dalam sistem pendidikan negara ibarat melepaskan batuk ditangga dan jelas sekali bertujuan untuk memperlihatkan seolah-olah pemerintah benar-benar memperjuangkan Islam. Tetapi yang jelas lagi nyata, terpapar dihadapan mata kita, betapa rosaknya akhlak dan akidah orang-orang Melayu hasil dari sistem pendidikan yang sedemikian itu selepas lebih 50 tahun ditadbir-urus oleh UMNO-BN. Berapa ramai orang melayu tidak mendirikan solat apatah lagi untuk memelihara solat. Berapa ramai anak-anak muda bersekududukan sehingga melahirkan anak dan anak-anak itu dibuang seperti sampah. Berapa puluhan ribu pula yang telah murtad samada terang-terangan memohon untuk murtad, atau tanpa disedari mereka telah murtad lantaran meperolok-olokkan perintah Allah atau disebabkan kejahilan mereka sendiri.

Itulah ajaran Islam yang mereka faham sehingga agama Islam yang telah sempurna semenjak lebih 1430 tahun dahulu terpaksa dijenamakan semula untuk disesuaikan dan memenuhi tafsiran nafsu mereka dengan jenama baru ”Islam hadhari” atau Islam yang bertamaddun. Dengan erti kata lain, samada tersurat atau tersirat, ia boleh ditafsirkan bahawa ajaran Islam yang telah diamalkan semenjak lebih dari 1430 tahun dahulu sebagai ajaran agama yang tidak bertamadun atau barbarik. Sebab itulah pemimpin-pemimpin dunia terutama dari Barat begitu teruja, berlapang dada dan memuji-muji usaha tersebut. Ia sebagai ”rubber stamp” pengesahan bahwa perjuangan umat Islam yang tertindas diseluruh dunia selama ini adalah sebagai perjuangan ”pengganas”. Dan amat menyedihkan apabila pembaca-pembaca berita dimedia elektronik kongkongan kerajaan yang mengaku Islam dengan sedap mulut melaporkan pejuang-pejuang Islam sebagai pengganas.

Jelas sekali fahaman dan tafsiran pemimpin-pemimpin UMNO-BN tentang ajaran Islam jauh sekali dari yang diajar oleh baginda Rasulullah saw. Ia bercanggah dengan ajaran Islam yang meletakkan syarat ”Takwa” sebagai asas untuk mencapai kesejahteraan kehidupan bukan sahaja didunia malahan berlarutan hingga keakhirat. Bahkan matlamat kehidupan semasa didunia bukanlah untuk membina tamadun ”Hadhari” tetapi mengabdikan diri secara total kepada yang maha pencipta. Setiap gerak laku dan amalan akan diperhitungkan di Mahkamah Agong Robbul Jalil. Ini isu aqidah. Malangnya, terlalu ramai orang Melayu yang telah menjalani kehidupan sebagai seorang yang ”merdeka” selama lebih dari 50 tahun tetapi masih jahil dalam agama.

Apabila sesaorang itu bertakwa bermakna ia menjalani kehidupan berasaskan prinsip-prinsip ”dinul Islam” secara total yg dituntut oleh Allah. Sesunggunya, sekiranya mereka memperjuangkan ”dinul Islam” secara total, dengan sendirinya, kesejahteraan hidup manusia keseluruhannya akan turut berkembang. Inilah yang dilihat dari keagungan kerajaan Islam silam. Malangnya, mereka tidak menerima hakikat ini lantaran keimanan yang amat tipis malahan sanggup pula mempersenda hukum hakam yg ditentukan Allah.

Kalambatu: Sila betulkan tafsiran-tafsiran dari ayat-ayat Al-Quran dan Hadith diatas sekiranya salah. Wallahu’alam"

Ulasan

Catatan Popular