BAZAR TOK GURU KONON... KERAMAT MALL APA CITA?

KUALA LUMPUR: Projek gajah putih. Itu gelaran yang diberikan penduduk sekitar Keramat terhadap kompleks pasar dan perniagaan moden, Keramat Mall yang siap dibina pada penghujung 2008 apabila sehingga kini ia masih gagal beroperasi.


Malah, tinjauan Metroplus mendapati kompleks berharga lebih RM56 juta kira-kira setengah kilometer dari pasar lama dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya teknologi tinggi tenaga solar, dewan serba guna selain menempatkan 448 gerai itu masih ditutup kepada orang awam dan beberapa kawasan di sekelilingnya terbiar dan dipenuhi semak-samun.

Lebih menyakitkan pandangan apabila dinding zink yang dibangunkan di hadapan pasar itu roboh dan tidak diselenggara sehingga berbahaya kepada orang ramai khususnya pejalan kaki dan kanak-kanak.

Bukan itu saja, rata-rata peniaga yang ditemui di Pasar Datuk Keramat masih enggan berpindah ke kompleks berkenaan berikutan kegagalan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan kemudahan dan memenuhi tuntutan mereka.

Kemelut yang melanda kompleks itu bermula apabila peniaga membuat keputusan sebulat suara mahu DBKL memenuhi semua tuntutan mereka sebagai syarat ‘wajib’ untuk berpindah antaranya meminta DBKL menyediakan peti sejuk besar untuk penyimpanan barangan basah, menyediakan lif bersesuaian untuk kemudahan mengangkut barang selain kadar sewa bulanan lebih rendah. Pada Jun 2009 Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta DBKL bersetuju membina bangunan tambahan yang dikhususkan untuk lebih 124 peniaga barang basah dengan menambah peruntukan RM15 juta.

Bagaimanapun, difahamkan bangunan tambahan itu belum dibangunkan sehingga kini bagi menunggu persetujuan berpindah dari semua peniaga, malah difahamkan satu sesi dialog yang diadakan Oktober lalu turut menemui jalan buntu apabila peratusan persetujuan masih rendah.

Ulasan

Catatan Popular