UPM NAK LAKSANA PILIHARAYA KAMPUS SENDIRI

Kumpulan pelajar Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini tampil menyuarakan tuntutan supaya pentadbiran universiti memberi "peluang sepenuhnya" kepada mahasiswa untuk menguruskan pilihan raya kampus.
Tuntutan itu disuarakan oleh gerakan pelajar berkenaan menerusi satu memorandum yang diserahkan kepada timbalan naib canselor hal ehwal pelajar UPM Prof Dr Mohd Fauzi Ramlan pagi ini.
Memorandum berkenaan juga menggesa supaya pelajar dibenar menjalankan pilihan raya berkenaan "bermula dari proses pembelian borang, pendaftaran penamaan calon, hari penamaan calon sehinggalah kepada pengumuman keputusan rasmi."
Pengerusi Pro-M UPM Syed Shafiq Syed Hashim berkata tuntutan itu dikemukakan kerana "pihaknya sudah hilang kepercayaan terhadap jawatankuasa yang diamanahkan" untuk menguruskan pilihan raya kampus.
Katanya, beliau bersama tiga lagi pemimpin mahasiswa kampus itu telah bertemu dengan Mohd Fauzi bagi mendesak UPM menubuhkan sebuah jawatankuasa di peringkat mahasiswa seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menguruskan sendiri pilihan raya kampus.
Bercakap dalam sidang media yang diadakan di kampus tersebut hari ini, Syed Shafiq juga berkata, tidak ada sebab mengapa mahasiswa tidak boleh menguruskan pilihan raya kampus mereka sendiri.

Ulasan

Catatan Popular