MERLIMAU : PKR CADANG KETUA MUDA PKR TANDING

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menawarkan ketua sayap mudanya Shamsul Iskandar Mohd Akin bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, yang akan menyaksikan pilihan raya kecil ekoran kematian penyandang Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, semalam.


PKR mahu meletakkan calon mereka meskipun Pakatan Rakyat merasakan wajar menurunkan semula wakil PAS.

Kerusi itu ditandingi calon PAS pada pilihan raya umum Mac 2008 dan empat tahun sebelumnya calon PKR.

Kepimpinan Pakatan Rakyat Melaka dijangka bertemu awal minggu depan untuk memutuskan sama ada meletakkan wakil PKR atau PAS di Merlimau.

Difahamkan kepimpinan negeri mahukan PAS bertanding di kerusi itu yang majoritinya orang Melayu manakala PKR juga mempunyai calon sendiri, yang dipercayai boleh membawa kemenangan kepada perikatan tiga parti itu.

Allahyarham Mohamad Hidhir memenangi pilihan raya pertamanya menewaskan S. Jayathas dari PKR dengan majoriti 5,087 undi pada 2004 dan pada pilihan raya lepas, beliau menang dengan majoriti 2,154 mengalahkan pencabarnya, Jasme Tompang dari PAS.

“Beberapa orang (pemimpin negeri PKR) ada mencadangkan nama saya ... tetapi kami akan membuat keputusan bersama kepimpinan pusat mengenai parti mana yang akan bertanding.

“Dari segi undi kerusi Parlimen, pada 2008, PKR memperolehi lebih undi berbanding PAS ... itu sebabnya akan membawa perkara ini,” kata Shamsul yang juga ketua PKR Melaka kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun menurut Ketua Pembangkang Pakatan Rakyat Melaka Goh Leong San, PAS akan diberi keutamaan untuk bertanding di Merlimau.

“Kepimpinan Pakatan kemungkinan akan bertemu hujung minggu ini ataupun selepas itu, bukan hari ini, kerana kami hendak menunggu hari penamaan calon Tenang terlebih dahulu.

“Kami akan bertemu sehari atau dua selepas itu,” katanya.

Ulasan

Catatan Popular