'INTERLOK' ...PEMUDA PAS SEDIA JADI ORG TENGAH

KUALA LUMPUR, 10 Jan — Dewan Pemuda PAS pusat melahirkan kesediaan untuk menjadi orang tengah menyelesaikan pertikaian mengenai buku teks sastera Interlok yang turut membawa kepada tindakan pihak tertentu membakarnya baru-baru ini.


Sayap PAS itu bercadang mengadakan “pertemuan muhibah” membabitkan pihak-pihak yang terlibat dalam pertikaian bagi mencari jalan penyelesaian.

“Kami bercadang membawa pihak-pihak yang terbabit untuk menghadiri perbincangan bersemuka, yang kami hendak selesaikan secara muhibah... nampaknya kaum India marah pada penulis, jadi berharap kita dalam temukan mereka,” kata Ketua Penerangan Pemuda PAS pusat, Suhaizan Kayat kepada The Malaysian Insider.

“Oleh kerana pelbagai pihak yang mempertikaikan buku ini dan isu ini pula berlarutan, Pemuda PAS pusat fikir isu ini perlu diselesaikan segera,” kata beliau lagi.

Pertemuan itu dijangka diadakan di ibu negara.

“Kami sedang cari tarikh dan tempat yang sesuai untuk mengadakan pertemuan ini,” kata beliau lagi.

“Kami mahu membawa kesemua pihak terbabit ke meja perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya lagi.

Ulasan

Catatan Popular