BN LETAK CALON PEMPUAN LAWAN CIKGU MALA!!!

LABIS, 17 Jan — PAS malam tadi mengesahkan ura-ura sebelum ini bahawa Normala Sudirman akan menjadi calon parti itu dan Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kerusi Tenang, Johor.


Pengumuman nama Normala, 38, yang juga Ketua Muslimat PAS Labis, dibuat Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada majlis yang turut dihadiri oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Dikenali lebih mesra dengan nama “Cikgu Mala”, beliau merupakan salah satu nama yang telah disenarai pendek oleh parti tersebut bagi menghadapi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil yang akan dilangsungkan 30 Januari ini.

Mengenai pemilihan Normala sebagai calon, Abdul Hadi berkata: “PAS sedar wanita juga pengundi dan mereka juga perlukan suara mereka didengar.”

Beliau menambah ini bukan kali pertama PAS mengetengahkan wanita sebagai calonnya pada pilihan raya.

Normala yang bersyukur dengan pemilihan beliau sebagai calon berkata: “Ini merupakan bukti pengiktirafan Pakatan Rakyat dan PAS khasnya terhadap kepentingan peranan yang dimainkan oleh wanita.”

Di antara isu yang akan diketengahkan beliau ialah masalah kemiskinan rakyat di luar bandar dan isu-isu berkaitan wanita.

Normala merupakan anak kelahiran Kampung Serom 3, Muar dan merupakan anak sulung daripada lima orang adik-beradik.

Isteri kepada Makrof Abd Mutalib, beliau merupakan ibu kepada seorang anak perempuan dan dua lelaki.

Normala adalah graduan Maktab Perguruan Tuanku Bainun, Pulau Pinang dan merupakan anak generasi kedua Felda.

Beliau yang memegang Diploma Perguruan mula menggiatkan diri dalam PAS selepas menamatkan pengajian pada 1997.

Pada 2000, beliau memegang jawatan sebagai Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Johor dan Exco Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat.

Pada penghujung tahun lalu selepas 13 tahun mengajar, beliau meninggalkan profesion perguruannya kerana mahu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada tugas parti.

Beliau kini memegang jawatan sebagai Penyelia Pusat Aduan Rakyat DUN Tenang.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN itu ditetapkan pada 22 Januari ini.

BN akan mengumumkan calonnya pada Rabu ini.

Terdapat ura-ura BN juga akan menurunkan calon wanita dan ini diperkuatkan lagi apabila Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebelum ini secara terbuka mencadangkan agar parti itu memilih Ketua Wanita Umno Labis Haslinda Salleh sebagai calonnya.

Berasal dari Chaah, Haslinda, seorang ahli perniagaan, dikatakan antara tiga nama yang berpotensi diturunkan sebagai calon BN.

Ulasan

Catatan Popular