ZAHID TAKNAK MINTA MAAF ISU PATROTISME BUKAN MELAYU

Selepas kira-kira sebulan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pagi ini membuat penjelasan di Dewan Rakyat mengenai kenyataan kontroversi isu patriotisme bukan Melayu dan penyertaan mereka dalam Angkatan Tentera Malaysia, tetapi enggan memohon maaf.


Menteri Pertahanan memberitahu bahawa beliau tiada niat sama sekali untuk menyinggung perasaan kaum bukan Melayu apabila memaklumkan kurangnya sambutan bukan Melayu untuk menyertai perkhidmatan ketenteraan adalah disebabkan rendahnya semangat patriotisme.

“Saya rasa malang jika jawapan saya di Dewan ini pada November lalu telah menyinggung perasaan mana-mana kaum,” kata beliau ketika bangun membuat penjelasan selepas sesi soalan lisan hari ini.

Zahid, yang juga Naib Presiden Umno berkata, beliau sedar sejarah telah membuktikan bahawa masyarakat bukan Melayu termasuk Cina, India, Kadazan dan kumpulan-kumpulan lain telah menyertai perjuangan menentang pemberontakan komunis pada 1960-an.

“Saya tidak bermaksud untuk menyinggung perasaan masyarakat bukan Melayu,” katanya lagi.

Bagaimanapun apabila Ahli Parlimen DAP dari Ipoh Barat M. Kulasegaran menggesa agar meminta maaf, Zahid tidak menghiraukan gesaan itu.

Ulasan

Catatan Popular