TERIMA JE LAH ZAID... AKIM DAH OFFER TUE...

Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Zakaria Salleh sedia memberi laluan kepada Datuk Zaid Ibrahim untuk menerajui parti tersebut jika bekas pemimpin PKR itu sedia menyertainya.

Sehubungan itu, Zakaria yakin Zaid yang meninggalkan PKR baru-baru ini kemungkinan besar akan menyertai Akim bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang dijangkakan akan diadakan awal tahun depan.

Menurut Zakaria, melalui perbincangan sebelum ini Zaid telah menyatakan persetujuan untuk menyertai parti yang berpejabat di Kelantan itu.

“Datuk Zaid telah menyatakan persetujuan untuk menyertai Akim, kita juga mengalu-alukan kedatangan beliau ke parti ini.

“Kita juga telah berbincang hala tuju parti dengan barisan kepimpinan dan bersetuju untuk menerima Zaid sekiranya beliau mahu menyertai kita, selain itu kita lihat beliau seorang individu yang tidak berkepentingan peribadi dan ia adalah tunjang kekuatan beliau,” katanya.

“Jadi kita harap Zaid akan menyertai kita dalam memperkuatkan dan memperkukuhkan kita dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13, beliau tidak perlu tubuhkan parti baru,” kata Zakaria.

Beliau berkata, Akim amat memerlukan individu seperti Zaid yang dilihat boleh membawa perubahan besar terhadap parti itu bukan hanya di Kelantan, tetapi juga di seluruh Malaysia.

“Akim sudah berusia 15 tahun, tapi kami hanya mampu berada di Kelantan sahaja, jadi dengan penyertaan Zaid kita harap beliau boleh membawa perubahan yang besar dalam politik negara kita.

“Kita juga harap beliau boleh membawa Akim maju ke hadapan,” katanya.

Tambah Zakaria, Akim akan mengadakan perhimpunan agung di Kuala Lumpur minggu depan bagi memilih barisan kepimpinan yang baru.

Zakaria berkata sekiranya Zaid menyertai Akim dan bertanding bagi jawatan presiden parti beliau akan memberikan laluan kepada bekas menteri di jabatan perdana menteri itu untuk menerajui parti.

“Kalau Zaid sertai Akim dan mahu bertanding atas tiket presiden parti, saya selaku presiden Akim akan memberikan laluan kepada beliau.

“Kenapa saya mahu serahkan jawatan presiden kepada Zaid? Ini kerana saya lihat beliau adalah seorang tokoh pemimpin yang serba boleh dan boleh membawa Akim maju ke depan lagi,” katanya.

Ulasan

Catatan Popular