KETUANAN MELAYU : TGNA MOHON RAJA MELAYU RUJUK AL-QURAN

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mencadangkan Raja-raja Melayu agar perkenan mencari jalan penyelesaian terbaik sekiranya mengambil berat tentang nasib orang Melayu di negara ini.
Dalam kenyataan terbaru menyentuh polemik ungkapan Ketuanan Melayu, Mursyidul Am PAS berkata, Raja-raja Melayu yang memperlihatkan kebimbangan mengenai kedudukan orang Melayu sejak kebelakangan ini, perlu tampil mencari jalan penyelesaian menggunakan lunas al-Quran.
“Apabila terdapat beberapa orang Raja-raja Melayu yang menyuarakan kebimbangan berkenaan nasib orang Melayu, saya sarankan supaya marilah kita merujuk kepada al-Quran.
“Pada saya, Raja-raja Melayu berhak bimbang jika benar orang-orang Melayu terancam, tetapi marilah kita mencari penawar yang betul untuk penyakit yang berlaku,” kata beliau yang masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dalam hal ini, kata Menteri Besar Kelantan (gambar), ungkapan Ketuanan Melayu merupakan ubat yang salah bahkan ia sebenarnya racun yang bisa.
“Justeru, bolehkah kiranya saya meletakkan harapan kepada pihak Raja-raja Melayu agar membawa rakyat kembali kepada Islam sebagai penyelesaian terhadap masalah yang berlaku? Yakinlah, dengan Islam, Melayu akan terbela,” katanya lagi.

Beliau berkata jika bercakap tentang ketuanan ia mesti kembali kepada Islam, bukannya Melayu yang selama ini menjadi modal perjuangan Umno.
“Bukankah Islam itu anugerah daripada Allah? Tidakkah hanya orang yang bertuah sahaja yang akan menerima anugerah daripada Allah s.w.t,” soal Nik Aziz.

"Hakikatnya, perjuangan ketuanan Melayu ini hanyalah perjuangan sia-sia. Demi menyedarkan rakyat tentang hakikat inilah, saya gagahi diri saya untuk terus berjuang memberikan kefahaman agar rakyat menerima Islam sebagai addin (din dan daulah),” katanya.

Ulasan

Catatan Popular