ZAID 'PENGKHIANAT... KURANG AJAR'

Pemimpin kanan PKR malam tadi secara sebulat suara melepaskan ‘peluru kritikan’ terhadap Datuk Zaid Ibrahim habis-habisan sambil menyifatkan bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu sebagai “kurang ajar” dan “pengkhianat” parti.

Ketikan berucap pada program Rapat Umum Keadilan Selangor Bersama Datuk Anwar Ibrahim di sini - kira-kira 12 jam selepas Zaid menetapkan tarikh muktamad keluar PKR, barisan pemimpin kanan termasuk Timbalan Presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali, Naib Presiden PKR Azmin Ali dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mengecam tindakan Zaid yang menggunakan akhbar rasmi Umno, Utusan Malaysia untuk menyerang pemimpin dan parti itu.

Malah majlis itu, yang diadakan seolah-olah untuk menjawab segala kecaman dan kritikan di sebalik isu Zaid keluar PKR, juga digunakan untuk melahirkan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menyampaikan ucapannya.

“Janganlah kita bercakap pada Utusan Malaysia. Munasabah atau tidak untuk bercakap hal rumah tangga kita kepada Utusan Malaysia?

“Tiada satu ahli dari PKR yang waras akan bercakap dengan Utusan Malaysia.

“Malah sejak parti ini ditubuhkan, tiada satu ahli pun yang bercakap dengan Utusan Malaysia yang selama ini mengecam kita,” kata Saifuddin ketika menyampaikan ucapan di hadapan kira-kira 1,000 orang yang terdiri daripada pemimpin tertinggi, pemimpin peringkat negeri Selangor dan penyokong parti itu.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang turut menyifatkan Zaid sebagai “kurang ajar” apabila menyerang dan mempertikaikan kredibiliti Anwar, penasihat PKR dan Ketua Umum Pakatan Rakyat.
“Orang yang cintakan parti tidak akan mempertikai Ketua Umum (Anwar).

“Beliau telah dipukul, diaibkan dan dipenjarakan selama tujuh tahun kemudian keluar untuk kukuhkan parti, bina kekuatan antara PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat malah dapat lima juta undi daripada rakyat.
“Pemimpin seperti ini (Zaid) kurang ajar, jangan biarkan... setuju atau tidak untuk bersama dengan beliau? “Beliau mahu keluar parti 16 Disember... sebab nak jelajah nak dapat sokongan,” katanya. Menurut Saifuddin, PKR akan menjadi sebuah parti terkuat di Malaysia.

“Pemimpin akan datang dan pergi tapi parti keramat akan terus bersama rakyat.

“Parti ini akan jadi parti terkuat di Malaysia,” katanya. Semalam, Zaid mengumumkan akan meninggalkan PKR berkuat kuasa 16 Disember ini dan surat pemakluman mengenainya telah dihantar kepada ibu pejabat parti itu.

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan Popular