Wanita PKR mahu Anwar dilantik Ketua Umum PKR serta-merta secara sah

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin hari ini mencadangkan supaya jawatan ketua umum — kedudukan tertinggi dalam parti itu diwujudkan dengan serta-merta.
Ahli Parlimen Ampang itu juga mahu jawatan tersebut digubal serta-merta dalam perlembagaan parti itu.
Menurut Zuraida, langkah tersebut dibuat bagi memberi pengiktirafan di atas peranan dan pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap perkembangan parti itu selama ini.
“Kewujudan jawatan itu (ketua umum) bukan memberi ancaman terhadap autoriti dan pengaruh presiden dan timbalan presiden sebaliknya hanya berperanan sebagai ‘mentor’ kepada pembangunan parti.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sosok penting dalam sejarah penubuhan Keadilan (PKR). Peranan dan pengaruh utamanya tidak boleh kita nafikan.
“Malah diketahui beliau seorang tokoh yang amat disegani sehingga ke peringkat antarabangsa. Pengaruh dan kapasitinya tidak harus disia-siakan dan dimanfaat buat kebaikan parti,” kata Zuraida dalam ucapan dasar ketua wanita ketika Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR di sini
Beliau berkata kewujudan jawatan ketua umum itu adalah demi menjaga dan memelihara pengaruh PKR dalam landskap politik semasa.
“Relevannya diwujudkan jawatan ketua umum buat Anwar adalah demi menjaga dan memelihara pengaruh,peranan dan statusnya dalam PKR agar kelangsungan dalam lapangan politik semasa terus gah dan sentiasa digeruni,” katanya.

Anwar kini adalah Penasihat PKR.

Ulasan

Catatan Popular