PAKCIK KAYO... ZAMBRY MENANG SAMAN PAPER PKR

KUALA LUMPUR - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir semalam memperoleh penghakiman terhadap akhbar Suara Keadilan dalam kes saman RM100 juta difailkannya berhubung penyiaran artikel fitnah oleh lidah Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi, Noordura Mohamad Din membenarkan permohonan Zambry mendapatkan penghakiman pada bahagian-bahagian tertentu dalam pernyataan pembelaan defendan selepas mendengar penghujahan kedua-dua belah pihak di dalam kamarnya.

Peguam Zambry, Firoz Hussein Jamaluddin memberitahu pemberita, mahkamah akan menilai ganti rugi berkenaan kemudian.

Beliau berkata, mahkamah menetapkan 29 November ini bagi pengurusan kes kedua-dua pihak untuk berhujah di hadapan hakim tentang maksud di sebalik perkataan-perkataan fitnah yang dinyatakan dalam pernyataan tuntutan Zambry.

Menteri Besar Perak memohon bagi memasukkan penghakiman mengikut Aturan 27 (Peraturan 3) Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 berikutan pengakuan defendan-defendan dalam pernyataan pembelaan mereka.

Firoz Hussein berkata, defendan dalam pembelaan mereka mengakui bahawa perkataan-perkataan 'Zambry gagal memasuki Amerika Syarikat kerana disyaki pengganas' pada edisi 29 Disember 2009 - 5 Januari 2010, adalah palsu dan tidak berasas.

Pada 25 Februari lalu, Dr Zambry memfailkan saman fitnah dengan menamakan Dr Wan Azizah selaku pemegang jawatan dalam PKR, Timbalan Presiden, Dr Syed Husin Ali yang juga ketua editor :Suara Keadilan; penerbit akhbar berkenaan, Pelita Koridor Sdn Bhd dan pencetak Suara Keadilan, Percetakan NPK Sdn Bhd sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Zambry berkata, artikel itu mengandungi perkataan berunsur fitnah yang palsu, tidak berasas dan disiarkan dengan berniat jahat.

Zambry menegaskan bahawa beliau tidak dihalang daripada memasuki Amerika Syarikat, malah dibenarkan masuk ke negara itu serta diberikan pengiktirafan yang sesuai dengan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Perak.

Defendan, dalam pernyataan pembelaan mereka, menyatakan bahawa permohonan maaf bertajuk 'Mohon Maaf Dr Zambry' dan penarikan balik artikel telah disiarkan dalam akhbar parti keluaran 30 Mac - 6 April lalu. - Bernama

Ulasan

Catatan Popular