BN Tuduh Kerajaan Negeri Tak Sumbangkan Pada Mangsa Banjir????

Kerajaan negeri Kedah telah memperuntukkan hampir RM1 juta untuk membantu mangsa banjir di samping RM500,000 daripada wang zakat yang diumumkan Sultan Kedah semalam.

Exco kerajaan negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, soal kerajaan negeri tidak membantu mangsa banjir tidak berbangkit langsung di negeri ini.

"Yang menjadi masalah adalah media yang tidak membuat liputan untuk kerajaan negeri," kata beliau.

Kerajaan negeri, katanya, telah menubuhkan Bilik Gerakan Banjir peringkat negeri dan daerah.

Di peringkat negeri ia diketuai oleh Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri manakala di daerah di ketuai Pegawai Daerah.

"Memandangkan SUK di Mekah, Timbalan SUK, Datuk Haji Ahmad Mat Isa yang ketuai operasi ini," kata Phahrolrazi kepada Harakahdaily.

Selain jentera kerajaan, NGO dan parti politik khasnya PAS dan Pakatan Rakyat juga terlibat.

"Dakwaan Shahrizat Jabatan Kebajikan Masyarakat agensi pusat tak betul. Pengarahnya staff kerajaan negeri. Ia agensi bersama," katanya.

Beliau mengaku jabatan itu paling banyak membantu magsa di samping kerajaan tempatan, polis, bomba dan juga jabatan kesihatan dan pelajaran.

Hari ini, kata Phahrolrazi, pihaknya bersama JKR akan bersama syarikat yang menjaga konsesi trek berkembar, Gamuda, akan menyiasat kalau projek itu menyebabkan laluan banjir tersekat.

Tuduhan melulu

Dalam perkembangan berkaitan, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata dakwaan Kerajaan Persekutuan bahawa Kerajaan negeri Kedah melepaskan tanggungjawab untuk membantu mangsa banjir di negeri itu adalah tuduhan melulu.

Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata, sejak dari awal banjir melanda negeri itu, kerajaan negeri sudah mengambil tindakan membantu mangsa banjir termasuk memastikan pusat penempatan sementara mencukupi.

"Tuduhan mengatakan kerajaan Negeri Kedah tak ambil tahu masalah mangsa banjir satu tuduhan yang sangat melulu, yang dibuat oleh BN.

"Kerajaan negeri menyediakan bantuan untuk diagihkan kepada mangsa banjir termasuk sumbangan daripada PAS sendiri, wakil-wakil rakyat dan sumbangan orang ramai," kata Mahfuz.

Ujarnya, media hanya membuat laporan berdasarkan kenyataaan pempimpin Umno, tanpa mengikuti sendiri perkembangan dan usaha yang dilakukan kerajaan negeri.

"Media juga memberikan laporan yang tak betul. Kata tak ada pemimpin Pakatan Rakyat yang turun dan sebagainya. Media tak pernah pun ikut kita. Kita pun tak fikir waktu banjir ini nak panggil media, tak sempat nak tunggu media datang untuk kita redah kawasan banjir.

"Kalau nak tunggu media datang baru nak pergi kawasan banjir, bermasalah juga. Mana nak jaga orang media, mana nak bawa bantuan, bot pun tak cukup.

"Kita tak ada masa nak ambil gambar, nak berlakon, jadi kita pergi semata-mata untuk bagi bantuan. Sharizat datang sehari dua sahaja, bukan pergi semua kawasan pun," katanya.

Semalam, Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS supaya tidak melepaskan tanggungjawab untuk membantu mangsa-mangsa banjir di negeri itu kepada kerajaan pusat semata-mata.

Sebaliknya, kata beliau kerajaan negeri perlu meningkatkan koordinasi dalam usaha melicinkan penyaluran pelbagai bantuan termasuk bekalan air bersih kepada mangsa banjir.

"Kerajaan negeri tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab. Dia tidak boleh serah kepada (kerajaan) pusat. Jikalau beban besar, kerajaan negeri perlu bersama melaksanakan tanggungjawab.

"Bidang kuasa negeri seperti bekalan air bersih terletak dalam bidang kuasa negeri," katanya.

Ulasan

Catatan Popular