20 Okt 2010

PERWAKILAN BN SABAH HENTAM TABUNG HAJI
abu nu'man20 Okt 2010 0 Komentar

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Seorang Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) mendesak pengurusan Lembaga Tabung Haji mengubah sistem pemilihan bakal haji berasaskan kuota kerana ia menimbulkan banyak masalah, selain terlalu berorientasikan perniagaan.


Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) yang membangkitkan isu itu berkata, sistem kuota berkenaan telah menyebabkan ketidakadilan berlaku apabila ada pencarum mendakwa tidak diberi peluang sama rata untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu.

"Jadi orang Sabah kata, ini BN mahu masuk syurgapun ada kuota... dalam Islam kita tahu antara syaratnya (masuk syurga) ialah naik haji... jadi bila mereka tidak boleh naik haji kerana dikawal oleh kerajaan, siapa yang mahu tanggung dosa?

"Dalam televisyen kita nampak ramai rakyat diberi peluang untuk bersuara mengatakan mereka sudah empat, lima, enam kali naik haji...mereka ini tak pakai kuotakah?" katanya ketika membahaskan Bajet 2011 di Parlimen hari ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Tabung Haji mengamalkan sistem tidak akan menawarkan peluang sama kepada individu yang telah mengerjakan haji di bawah Tabung Haji dalam tempoh lima tahun, bagi membolehkan kuota itu diberikan kepada mereka yang tidak pernah menerima tawaran tersebut.

Abdul Ghapur juga mempersoalkan bagaimana kuota 35,000 jemaah haji yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia ditentukan.

"Ke mana kuota 35,000 jemaah itu diberikan kerana apabila kita minta kuota, Tabung Haji kata sudah tidak ada kuota...tahun ini, seluruh Sabah hanya mendapat 1,000 kuota...sedangkan kalau bagi 2,000 kuota bagi 13 negeripun, baru 26,000," katanya.

Beliau turut bersetuju dengan pandangan Taib Azamudden Md Taib (PAS-Baling) yang mencelah bahawa Tabung Haji kini sudah "lari" daripada asas matlamatnya iaitu memberi kemudahan kepada jemaah haji menunaikan ibadah kepada perniagaan.

"Tabung Haji ini berfikiran untuk berniaga, ada pakej Zamrud dan macam-macam pakej kerana mahu berniaga. Ada juga pakej am di mana VVIP, kawan-kawan, anak saudara pergi naik haji... bayar RM10,000 semua kelas pertama... ini mana boleh.

"Sedangkan orang miskin hendak kumpul RM10,000 pun kais pagi, makan pagi... kenapa, Tabung Haji untuk orang kaya sahajakah? Rakyat menabung untuk naik haji, bukan mahu pakej yang mahal-mahal," kata Abdul Ghapur.

Sehubungan itu, beliau mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak campur tangan supaya perkara seumpamanya dihentikan, selain memastikan setiap negeri diberi kuota yang sepatutnya agar Tabung Haji tidak dilihat sebagai berniaga dalam mendapatkan kuota haji.

Selain itu, Abdul Ghapur turut mempersoalkan mengenai peruntukan pembangunan untuk Sabah yang didakwa "tidak nampak di mana jatuhnya".

Katanya, secara dasar Sabah mempunyai kira-kira RM12.5 bilion peruntukan pembangunan yang terdiri daripada RM2.5 bilion menerusi Bajet 2011, RM6 bilion diumumkan Perdana Menteri ketika melawat Sandakan pada 16 September lepas, dan RM4 bilion lagi melalui peruntukan Rancangan Malaysia Kesembilan yang tidak dibelanjakan.


"Jadi, rakyat Sabah minta saya tanya dalam Dewan Rakyat, mereka mahu tahu sebab Sabah ini dianggap ''deposit tetap'' untuk BN...mereka mahu tahu ke mana kewangan ini disalurkan, sama ada kepada kerajaan negeri, atau masih dipegang oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri," katanya. – Bernama
In Category :
DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN WANGSA MAJU Blog Rasmi DPPWM Facebook dan Twitter

0 Komentar

Catat Ulasan

................................................................................................

SEBARANG INFAQ / DERMA BOLEH DISALURKAN KEPADA

AKAUN DEWAN PEMUDA PAS
KAWASAN WANGSA MAJU
No. Account : 564557122098
Bank : Maybank
Branch : Wangsa Maju

................................................................................................

Disclaimer

Disclaimer/ Penafian

The views expressed in the posts and comments of this blog do not necessarily reflect the Dewan Pemuda PAS Kaw. Wangsa Maju (DPPWM). They should be understood as the personal opinions of the author or commenter. Your words are your own, so be nice and helpful if you can.

Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di atas adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian dppwm.blogspot.com. DPPWM tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.