KES AMINULRASHID : JUMPA PARANG? SAPA TIPU SAPA?

SHAH ALAM, 21 Okt – Persoalan siapa pemilik sebilah parang yang ditemui dalam kereta dipandu Aminulrasyid Amzah yang mati dalam satu kejadian tembakan di Seksyen 11 di sini, belum terjawab selepas tiga saksi pendakwaan yang memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini menafikan pernah melihat atau meletakkan parang itu dalam kereta berkenaan.


Mereka ialah kakak kedua Aminulrasyid, Tuty Shaninza Anom Amzah, yang merupakan pemilik kereta jenis Proton Iswara putih yang dipandu oleh remaja itu pada hari kejadian, suami Tuty, Muzafar Mahali dan bapa mentua Tuty, MahaliRamlan yang merupakan pemilik berdaftar kereta itu.

Parang itu ditemui oleh polis di bahagian bawah tempat duduk penumpang di sebelah kiri kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid, 15.

Dalam keterangannya, Tuty Shaninza, 36, berkata beliau tidak pernah meletakkan parang di dalam kereta itu, dan ketika ditunjukkan sebilah parang yang merupakan satu daripada barang kes, saksi pendakwaan ke-20 itu berkata beliau tidak pernah lihatnya dan tidak tahu siapa pemiliknya.

Tuty Shaninza juga berkata beliau tidak pernah melihat Aminulrasyid membawa parang sebelum kejadian.

Mahali, 69, yang merupakan saksi ke-21 pendakwaan, pula berkata beliau tidak pernah menyimpan parang dalam kereta itu yang dibelinya pada 2006 sehingga beliau memberikan kereta itu kepada Tuty Shaninza, empat bulan selepas itu.

Ketika Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar menunjukkan parang itu, Mahali menafikan bahawa beliau pernah melihatnya.

Muzafar, 36, dalam keterangannya juga menafikan bahawa beliau pernah nampak dan meletakkan parang dalam kereta itu.

Saksi ke-22 pendakwaan itu berkata beliau tidak tahu siapa pemilik parang itu dan menafikan bahawa isterinya, Tuty Shaninza, ada membawa parang dalam kereta itu.

Ketiga-tiga saksi itu memberi keterangan pada perbicaraan terhadap anggota polis, Koperal Jenain Subi, 48, yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11, antara 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April lepas.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ulasan

Catatan Popular