KENYATAAN MEDIA : SYABAS KONTINJEN MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN
15 Oktober ’10 / 07 Dzulkaedah 1431
SYABAS KONTINJEN MALAYSIA

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan syabas kepada kontinjen Malaysia yang beraksi di Sukan Komanwel di New Delhi, India setelah pulang dengan membawa 12 pingat emas, 10 perak, dan 13 gangsa.

Pencapaian ini merupakan yang terbaik pernah diraih oleh kontinjen Malaysia dan melepasi sasaran 10 pingat emas seperti yang disasarkan sebelum ini. Walaupun ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun 1998, Malaysia hanya mampu mengutip 10 pingat emas sahaja.

DPPWP percaya pencapaian ini adalah komitmen dan kesungguhan setiap atlit yang bertanding. Mereka telah berjaya memberikan sumbangan yang besar dan mengharumkan negara dalam lapangan sukan.

Kepada atlit yang tidak berjaya membawa pulang sebarang pingat, jangan berputus asa dan mengalah. Hanya dengan usaha yang berterusan, komitmen serta bersaing di kejohanan peringkat tertinggi, para atlit negara akan mampu memenangi pingat dalam kejohanan dunia akan datang. Gunakanlah segala kemudahan yang bertaraf dunia milik negara kita sebagai persediaan rapi bagi memantapkan lagi prestasi dan jangan hanya lena dibuai mimpi indah kejayaan di New Delhi sedangkan perjalanan masih jauh untuk kita mampu berdiri sama tinggi dengan kuasa besar dunia seperti China dan Amerika Syarikat.

Akhir sekali, DPPWP mengharapkan prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh kontinjen Malaysia dalam Sukan Komanwel kali ini akan mampu diteruskan dalam temasya sukan dunia akan datang seperti Sukan Olimpik dan yang terdekat Sukan Asia yang akan berlangsung di Guanzhuo, China pada 12 – 27 November tahun ini. MALAYSIA BOLEH!

Ulasan

Catatan Popular