KAJIAN UIAM, SOKONGAN BN MENINGKAT... PR KENE AMBIL PERHATIAN

Sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) pada akhir-akhir ini semakin meningkat berbanding semasa Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu, demikian menurut kajian isu semasa terbaharu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


Berdasarkan kajian tersebut, populariti BN meningkat empat peratus iaitu 55 peratus berbanding 51 peratus semasa Pilihan Raya Umum 2008, manakala hanya 37 peratus rakyat Malaysia sanggup mengundi pakatan pembangkang, penurunan sebanyak 12 peratus daripada 49 peratus dalam tempoh yang sama.

Lapan peratus daripada sejumlah 1,367 responden dalam kajian itu menyatakan mereka tidak pasti memilih parti mana sekiranya pilihan raya umum diadakan esok.

Kajian yang sama juga dilakukan pada Ogos 2009 dengan jumlah responden seramai 1,458 orang.

Menurut kajian, sokongan orang Melayu terhadap BN meningkat tiga peratus iaitu daripada 58 peratus pada Ogos 2009 kepada 61 peratus pada Ogos 2010.

Sokongan kaum Cina terhadap BN masih rendah tetapi menunjukkan peningkatan dua peratus daripada 40 peratus kepada 42 peratus dalam tempoh yang sama.

Bagaimanapun, sokongan kaum India menurun daripada 63 peratus kepada 59 peratus. Ini kerana 14 peratus kaum India memilih untuk tidak memilih mana-mana parti.

Kajian ini dilakukan dari 1 hingga 18 Ogos 2010 di seluruh negara untuk mengetahui pandangan responden berumur 21 tahun ke atas mengenai isu semasa.

Seramai 1,367 responden dari kaum Melayu/Bumiputera, Cina, India dan lain-lain di seluruh negara ditemubual bagi mewakili pendapat umum.

Kajian Isu Semasa ini diketuai Azrul Hisyam Wakichan dan diselia Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Kulliyyah Ilmu Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIAM, Prof Datuk Seri Syed Arabi Idid.

Kaedah persampelan digunakan dalam kajian ini iaitu memilih sebahagian kecil dari penduduk mewakili seluruh penduduk di sesuatu kawasan.

Jumlah responden ditentukan mengikut kelompok daerah, dan ditetapkan mengikut kepadatan penduduk, komposisi kaum, lokasi, kategori umur dan juga jantina.

Kaedah temu bual bersemuka dengan responden digunakan dengan mengemukakan satu set soal selidik untuk dijawab dalam masa antara 25 hingga 45 minit.

Mengikut kajian, peningkatan populariti BN didorong beberapa faktor termasuk keberkesanan pelaksanaan program oleh kerajaan dan rakyat melihat BN sudah mulai pulih dari kemelut masalah dalaman yang dihadapi terutamanya oleh parti-parti komponen.

Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga menyumbang kepada peningkatan populariti BN.

Penurunan populariti pakatan pembangkang, menurut kajian itu, disebabkan faktor-faktor seperti pergeseran sesama anggota parti dan antara parti komponan dan kegagalan menunaikan janji-janji pilihan raya. – Bernama

Ulasan

  1. Perghh..dah hangpa pi tanya ahli umno memanglah meningkat..meh tanya kami ni!!

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan Popular