ISU TOL PLUS : AKU LAGI PERCAYA BN DARI UEM GROUP.

"Pampasan maksima RM5 bilion" menyusul, sebaik sahaja rakyat diumumkan khabar baik bahawa "kadar tol empat lebuhraya PLUS tidak dinaikkan untuk lima tahun", ketika Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan tahun 2011, Jumaat lalu.


Timbalan Menteri Kewangan, Donald Lim Siang Chai ketika ditanya selepas pembentangan Belanjawan 2011 oleh Najib Razak, berkata kerajaan tidak perlu membayar pampasan kepada syarikat konsesi, lantaran keputusan untuk tidak menaikkan tol selama lima tahun. Namun demikian, Donald Lim enggan mengulas lanjut berhubung isu ini.

Bagaimanapun, kenyataan ini bertentangan dengan apa yang diumumkan oleh UEM Group (yang dikuasai Khazanah Nasional) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam sidang media pada hari ini. UEM Group dan KWSP mengambil-alih PLUS Expressways Berhad dengan RM 23 bilion pada 15 Oktober.


Menurut UEM Group dan KWSP, kerajaan telah berhutang dengan syarikat konsesi lebuh raya sejumlah RM2.5 bilion, setakat 30 Jun 2010. Malah, kerajaan dianggarkan perlu membayar pampasan maksima RM5 bilion seandainya tidak menaikkan kadar tol untuk lima tahun, mengikut perjanjian konsesi asal. Dengan kata lain, kerajaan mungkin perlu membayar RM7.5 bilion dalam masa lima tahun yang akan datang.

Ulasan

Catatan Popular