GALAS : PENGANALISIS POLITIK RAMAL PAS MENANG KERANA....

Penganalisis politik meramalkan keputusan pilihan raya kecil 4 November ini akan menyaksikan status quo dengan PAS boleh mengekalkan kerusi Galas.


“Kerusi DUN Galas akan kekal di tangan PAS ,” kata Dr Ong Kian Ming (gambar) pada sesi taklimat berkaitan pilihan raya kecil Galas di sini malam tadi.

Kira-kira 10 jam sebelum itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan status calon dengan DUN Galas menyaksikan saingan satu lawan satu antara BN dan PAS.
Menurut Ong, walaupun persaingan di Galas kelihatan sengit tetapi PAS akan mempertahankan kerusi tersebut.

“Saya meletakkan peluang 52 peratus untuk calon PAS menang di Galas dan 48 peratus untuk calon BN,” kata beliau.

Selepas proses penamaan calon semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu pemberita bahawa kempen pihaknya bergerak dari paras keyakinan 48 peratus untuk mencapai kemenangan di Galas.

PAS merampas kerusi itu buat julung kali dari tangan BN pada 8 Mac 2008 menerusi Che Hashim Sulaima yang meninggal dunia bulan lalu.

Hari pengundian pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi ditetapkan 4 November.

Di DUN Galas, BN diwakili Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff manakala Dr Zulkefli Mohamad, pemangku Yang Dipertua PAS kawasan Gua Musang mewakili PR.

Ong juga berkata, arah aliran sokongan pengundi Cina di kawasan DUN Galas akan kekal sebagaimana pernah disaksikan dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum di mana undi mereka tidak memihak kepada BN.

Dengan mengambil kira arah aliran sokongan pengundi Cina ketika pilihan raya kecil Bukit Gantang pada Mac 2009 dan Hulu Selangor April lalu, ahli akademik UCSI University ini juga melihat BN tidak akan menikmati perubahan besar citarasa di kalangan pengundi Cina.

Begitu juga kata beliau, isu gereja diroboh juga akan memberi impak dalam sokongan Orang Asli kepada BN di Galas.

Isu tindakan meroboh gereja Orang Asli di Pos Pasik dan Kampung Jias juga dikatakan boleh mempengaruhi undi mereka kepada BN walaupun Orang Asli dilihat sebagai “kubu kuat sokongan” bagi perikatan itu selama ini.

Kedua-dua Pos Pasik dan Kampung Jias terletak dalam bahagian DUN Nenggiri, yang dimenangi BN dua tahun lalu. Pada 2008, BN memperoleh 64 peratus daripada 1,942 undi Orang Asli di Galas.

Galas terdiri daripada 11,553 pengundi dengan kalangan orang Melayu adalah 7,125 atau 61.7 peratus, Cina (2,317 atau 20.06 peratus), India (185 orang atau 1.6 peratus), Orang Asli (1,889 orang atau 16.3 peratus) dan Bumiputera Siam (10 orang atau 0.08 peratus).

Ong juga tidak melihat “faktor Ku Li” akan menjadi pengaruh besar dalam pilihan raya kecil kali ini.

Dengan merujuk kepada arah aliran sokongan yang tidak memihak kepada Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pada 8 Mac 2008, Ong berpendapat bahawa situasi tersebut akan berulang kali ini.

Dr Zulkefli merupakan calon kerusi Parlimen mencabar Tengku Razaleigh pada 8 Mac 2008.

Tengku Razaleigh berjaya mempertahankan kerusi Parlimennya tetapi sokongan beliau daripada DUN Galas hanya 3,826 undi berbanding undi diterima Zulkefli sebanyak 4,143 undi.

Bagaimanapun Tengku Razaleigh memperoleh undi terbanyak di dua DUN yang lain dalam Parlimen Gua Musang.

Difahamkan PAS juga meletakkan sandaran pada aspek itu untuk menang di Galas.

Ong juga berkata fenomena itu merupakan salah satu sebab mengapa Tengku Razaleigh yang mesra dikenali sebagai “Ku Li” tidak mahu menjadi calon pilihan raya kecil ini.

“Beliau sebaliknya hanya bersedia untuk mengetuai jentera pilihan raya,” kata Ong lagi.

Ulasan

  1. Sapo yang sebenarnya Gilo? engaku yang sasau.Apa kena mengena dengan zaman Najib?.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan Popular