GADUH ADIK BERADIK JE LAH.... TAKYAH LA SAMPAI BAKAR RUMAH

ALOR SETAR, 20 Okt — Gara-gara bergaduh adik-beradik, dua buah rumah dan sebuah kereta terbakar di Kampung Seberang Perak di sini malam tadi.




Kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan tindakan seorang pemuda sakit mental yang sebelum itu dikatakan bergaduh dengan adiknya dan mengugut untuk membakar rumah mereka.

Ibu mereka Khua Ai Git, 56, berkata pergaduhan tersebut bermula 4 petang semalam, antara si abang Tan Chee Leng, 32, dan seorang adik lelakinya.

“Saya terpaksa buat laporan di balai polis kerana saya bimbang Chee Leng ada sakit mental. Saya risau Chee Leng akan buat seperti yang dia ugut (bakar rumah).

“Selepas buat laporan, anggota polis ada pergi rumah saya dan saya terus berada di balai polis kerana bimbang pulang ke rumah,” katanya.

Namun pada pukul 8 malam, Khua berkata beliau dihubungi adiknya yang memberitahu rumahnya dan sebuah rumah jiran sudah terbakar.

“Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang kerana semasa saya sampai di rumah, api sudah kuat dan sebuah kereta di hadapan rumah saya juga terbakar,” katanya.

Pihak polis belum memberi butiran mengenai kejadian tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Idris Mydin berkata pihaknya menjumpai dua botol cecair yang tidak berlabel di tempat kejadian.

“Namun kita akan mengenal pasti cecair tersebut dan punca sebenar kejadian. Setakat ini kita percaya api disebabkan daripada cecair yang dicurahkan itu,” katanya.

Beliau berkata bomba menghantar dua buah jentera beserta 24 anggota untuk memadam kebakaran dengan turut dibantu pasukan bomba sukarela.

Pesakit mental tersebut dikatakan telah menghilangkan diri. — Bernama

Ulasan

Catatan Popular