3 PENJURU : PAS, UMNO & AKIM UMUM CALON 24 OKT NIE

PAS akan mengumumkan nama calonnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 24 Oktober, kata Pengarah Pilihan raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun.


Abdul Fatah berkata semua senarai calon parti itu untuk pilihan raya tersebut telah diserahkan kepada Dewan Syura untuk diperhalusi sebelum diputuskan secara muktamad.

“Kita (PAS) bercadang membuat pengumuman nama calon 24 Okt ini serentak dengan hari pengumuman yang akan dibuat oleh parti lawan BN (Barisan Nasional), ini dikirakan sesuai dan adil bagi semua pihak,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Mat membayangkan bahawa Orang Asli adalah antara senarai nama calon yang dicadangkan oleh parti kawasan berkenaan untuk diserahkan ke peringkat pimpinan parti itu.

Mengenai pelancaran jentera pilihan raya PAS bagi menghadapi kempen di kawasan Galas itu, Abdul Fatah berkata, Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan merasmikan majlis pelancaran jentera pilihan raya itu pada 19 Oktober ini.

“Tarikh itu dianggap sesuai sebagaimana dipersetujui Menteri Besar Kelantan itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, TPM berkata calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kali ini akan diumum pada 24 Oktober ini iaitu dua hari sebelum hari penamaan calon.


Pengumuman calon BN itu akan dibuat di Galas atau Gua Musang.

Selain itu, Parti Angkatan Keadilan Islam Malaysia (AKIM) akan meletakkan anak seorang bekas Ahli Parlimen Rantau Panjang sebagai calon parti itu untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 4 November ini.


Bagaimanapun, Presidennya, Hanafi Mamat, enggan menamakan bakal calon terbabit dan beliau hanya akan mengumumkannya pada 23 atau 24 Oktober ini.

Ulasan

Catatan Popular