TAHNIAH QARI MESIR & QARIAH PAKISTAN

Peserta dari Mesir Hani Abdel Aziz Ahmad dan peserta dari Pakistan Samia Khanan dinobatkan sebagai johan qari dan qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-52 yang berlangsung di sini malam tadi.


Dengan kemenangan itu, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai AS$10,000 (RM31,975), piala, cenderamata dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Johan qari memperoleh pungutan markah sebanyak 91.46 peratus sementara johan qariah mendapat 91.08 peratus.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan isteri Datin Fatmawati Saidin, bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Menteri Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam Pengiran Datuk Seri Setia Dr Mohammad Pengiran Abdul Rahman.

Sementara itu, qari dari Malaysia Wan Ainuddin Abdullah dan qariah dari Brunei Dayang Nurfaezah Emran muncul naib johan qari dan qariah melayakkan mereka untuk membawa pulang hadiah wang tunai AS$7,000 (RM22,382) bagi setiap seorang, cenderamata dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga pula dimenangi qari dan qariah dari Filipina iaitu Abdul Wadoud K. Esmail dan Monaifah A. Bogabong Alawi melayakkan mereka untuk membawa pulang wang tunai AS$4,000 (RM12,790) setiap seorang, cenderamata dan sijil penyertaan.

Peserta-peserta lain menerima hadiah saguhati iaitu wang tunai AS$1,500 (RM4,796) setiap seorang, cenderamata serta sijil penyertaan.

Majlis tilawah yang bertemakan “Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah” itu berlangsung selama lapan hari bermula 27 Julai lepas dan disertai 76 peserta dari 47 negara, dengan menyaksikan empat negara pertama kali menghantar peserta tahun ini iaitu Kazakhstan, Surinam, Zambia dan Djibouti.

Ulasan

Catatan Popular