Pemuda PAS ajak Saifuddin bincang idea politik IPTA

Dewan Pemuda PAS Pusat mempelawa Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah untuk mengadakan perbincangan bersama bagi mengkaji penglibatan mahasiswa dalam politik negara ekoran laporan bahawa Kabinet telah menolak cadangan tersebut semalam.


Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Loke Siew Fook pula berkata pihaknya mengecam keputusan Kabinet untuk terus melarang pelajar universiti daripada menyertai parti politik.

Mengulas lanjut, Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Al-Tantawi berkata, pihaknya membuat pelawaan itu ekoran rentetan daripada sikap keterbukaan ditonjolkan oleh Saifuddin bagi memberi lebih ruang demokrasi kepada golongan mahasiswa di Malaysia.

“Dewan Pemuda PAS melihat isu kebenaran mahasiswa untuk berpolitik adalah satu polisi yang matang dan ia menyuburkan lagi semangat demokrasi di Malaysia,” kata beliau.

Nasrudin menambah, perbincangan bersama dengan golongan pemuda terutamanya daripada Pakatan Rakyat juga perlu disebabkan perkara tersebut mempunyai kaitan dengan ruang lingkup sistem parti politik yang dihadapi pada hari ini.
“Justeru, Dewan Pemuda berpendapat perkara ini bukan semata-mata untuk kepentingan semua parti, bahkan ia adalah untuk membina idealisme mahasiswa di samping menekankan jatidiri dan komitmen mereka kepada masa depan negara,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan.

Saifuddin dijangka akan terus membangkitkan idea tersebut pada mesyuarat Majlis Teringgi Umno 27 Ogos ini walaupun dilaporkan Kabinet telah menolaknya.

Usaha beliau itu pertama kali dibangkitkan pada 27 Julai lalu.

Ulasan

Catatan Popular