NAK TUNGGU SELESAI KES... LAMBAT LAGI PRU-13 NAMPAK NYE

Barisan Nasional (BN) dilihat mahu mengutamakan penyelesaian perkara-perkara berkaitan tiga isu utama — skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kematian misteri Teoh Beng Hock sebelum mempertimbangkan idea mengadakan pilihan raya umum ke-13.


Difahamkan pemimpin-pemimpin BN dalam pertemuan mereka baru-baru ini telah bersetuju agar memberi tumpuan kepada ketiga-tiga isu ini bersama dengan usaha menangani persekitaran ekonomi sebelum BN boleh yakin untuk membubarkan Parlimen.

Antaranya ialah tindakan membawa beberapa lagi individu yang terlibat dalam skandal PKFZ ke muka pengadilan. Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik muncul sebagai individu berprofil tinggi dihadapkan di mahkamah kerana menipu Kabinet persekutuan dalam soal penilaian tanah pada 2002. Termasuk beliau setakat ini lima orang telah dibawa ke mahkamah.


Pentadbiran Najib juga dikritik kerana mengarahkan Lembaga Pelabuhan Klang, pemilik PKFZ, agar menjelaskan bon-bon yang diambil oleh vendor tanah dan kontraktor utama Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) meskipun wujudkan litigasi antara kedua-dua pihak berkenaan.

Isu kedua ialah kes liwat Anwar yang disambung semula hari ini dengan peguam-peguam beliau akan meneruskan sesi soal balas ke atas saksi-saksi berkaitan dengan aduan dibuat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Malah kes itu menjadi perhatian ramai apabila Saiful dikatakan menjalin hubungan romantis dengan salah seorang timbalan pendakwa raya, Farah Azlina Latif. Pasukan pendakwa telah menggugurkan Farah Azlina minggu lalu.

Anwar, Ketua Pembangkang di Parlimen, mendakwa kes itu sengaja direka untuk memasukkannya beliau kembali ke penjara selepas PR memperoleh 82 kerusi di Dewan Rakyat dua tahun lalu.

Salah satu lagi isu yang menghantui BN ialah menyelesaikan misteri kematian Teoh, yang mati ketika berada dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 16 Julai 2009. Pembantu politik DAP itu ditemui mati pada pagi dia sepatutnya mendaftar perkahwinan dengan tunangnya.

Inkues itu mengejutkan ramai apabila pakar dari Thailand Dr Pornthip Rojanasunand, yang dilantik oleh kerajaan negeri Selangor memberitahu bahawa kematian dia kemungkinan “80 peratus adalah kerana dibunuh”, bukannya membunuh diri.

Mandat semasa hanya akan berakhir Mei 2013.

Ulasan

Catatan Popular