KASE : SAMAN EKOR "SAMAN PELIK"

Kira-kira 30 pemilik kenderaan yang menjadi mangsa notis saman ekor berkongsi pengalaman pada sesi pertemuan anjuran Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) malam tadi dengan menyamakan saman ekor “saman pelik”.


Pertemuan di Auditorium MPAJ dekat sini malam tadi diadakan untuk mengumpulkan fakta mengenai mereka yang dibelenggu masalah seperti bakal atau telah disenaraihitamkan, sekali gus tidak boleh memperbaharui cukai jalan.

Walaupun sambutan agak suram, namun pengajur kempen optimis masyarakat menerima usaha ini dengan baik.

Salah seorang penerima saman ekor yang hadir, Rahim Aziz, 55, menyifatkan “saman ekoran saman pelik” kerana tidak menyiasat terlebih dahulu kesalahan dan siapa yang melakukan kesalahan yang dimaksudkan.

Ahli perniagaan itu memberitahu The Malaysian Insider bahawa van miliknya disaman di Seremban kira-kira 7 pagi sedangkan hanya menggunakan kenderaan itu selepas pukul 9 pagi.

“Pukul 7 pagi, saya rasa pekerja saya pun tak bangun lagi,” katanya.

Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Shamsuri Mohd Ramli, 38, menegaskan, sistem saman ekor perlu dihapuskan sama sekali.

“Kalau saman terhapus, tak ada orang yang teraniaya,” ujarnya yang mendakwa menerima tujuh saman ekor yang hanya diketahui minggu lalu apabila memeriksa laman web kerajaan pusat.

Subramani Rangasamy pula mempunyai pengalaman menarik berhadapan dengan karenah sistem perundangan jalan raya negara ini.

Subramani memberitahu, dia pernah ditahan polis dan minta dibicarakan atas dakwaan melanggar Seksyen 53 Akta Pengangkutan Jalan.

“Polis kata saya langgar garisan ‘zebra’... masa itu saya minta sapina mahkamah dan panggil seorang pakar undang-undang JPJ untuk dia sahkan waktu itu, garisan ‘zebra’ tidak diwartakan lagi,” katanya lagi.



Salah seorang penerima saman ekor, Sivamani.- Gambar oleh Choo Choy May

Peguam yang mewakili KASE, Zulhazmi Shariff menjelaskan orang ramai perlu membezakan antara saman dan notis yang dikeluarkan polis.

Katanya, surat saman dikeluarkan di bawah Seksyen 53 dan mereka yang ditahan akan diberi surat saman terus dan boleh menandatanganinya sebagai tanda menerimanya.

Bagaimanapun menurut Zulhazmi, notis saman ekor biasanya tertera perkataan POL 170B.

“Itu notis di bawah Seksyen 115 yang mengehendaki pemilik kenderaan menjawab dalam masa tujuh hari kepada polis, siapakah yang memandu kenderaan masa tuduhan kesalahan itu dilakukan,” jelas Zulhazmi.

Namun tambah beliau, apa yang membimbangkan adalah sepatutnya selepas tujuh hari pemilik kenderaan boleh meminta dibicarakan di mahkamah tetapi kini Polis Diraja Malaysia meminta bayaran kompaun RM300.

“Prinsip keadilan adalah tidak bersalah sehingga disabitkan kesalahan. Tetapi dengan pemberian notis ini, ia seolah-olah menghukum pengguna jalan raya,” katanya.

KASE telah dilancar 2 Ogos lalu dalam usaha PAS membela nasib mereka yang menjadi mangsa saman ekor.

Dalam pada itu, Pengerusi KASE, Datuk Mahfuz Omar berkata beliau gembira kerana dalam waktu singkat sesi bertemu mangsa saman ekor ini dapat dilakukan.

“Keadaan jalan sesak dan lokasi yang agak tersorok mungkin jadi sebab ramai lagi yang tak dapat datang,” kata beliau ketika berucap pada majlis pertemuan itu.

Rata-rata hadirin melahirkan rasa tidak berpuas hati dan menghadapi banyak masalah lantaran tidak dapat mempengaruhi lesen memandu.

Mahfuz juga berkata beliau ‘mengalu-alukan’ Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk mengemukakan bukti dan mendakwa mereka yang terlibat untuk menyelesaikan kes saman ekor.

Mahfuz mengulas kenyataan Hishammuddin bahawa polis sedang cuba mengurangkan bayaran kompaun kepada pemandu yang disaman.

“Saya nak katakan, bukan isu kadar yang dipersoalkan mangsa saman ekor ni, soalnya ialah kenapa ia tak ikut prosedur yang betul? Kenapa polis takut nak dakwa orang di mahkamah?” ujar beliau.

Katanya, rekod menunjukkan lebih sejuta kenderaan telah disenaraihitamkan dan lebih 10 juta saman tertunggak.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS dijadual bertemu dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pagi ini berhubung isu saman ekor.

Ulasan

Catatan Popular