"TUKAR NAMA DAN DASAR LA KALU BERANI", TOK GURU

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat mengesyorkan Umno agar menukar nama dan dasarnya kepada Islam jika benar-benar mahu memperjuangkan hak dan nasib orang Melayu.


“Pada saya, kalau Umno tukar dasarnya daripada Melayu kepada Islam, maka Umno boleh bersama PAS dalam Pakatan Rakyat. Bila Umno boleh bersama PAS atas dasar Islam, orang Islam makin kuat dan politik Melayu bertambah kukuh,” katanya.


“Sekaranglah masanya untuk Umno menukar dasar Melayunya itu. Jangan terikut-ikut dengan puak Yahudi. Kerana pengasas perjuangan bangsa itu adalah puak Yahudi. Ia disambung pula oleh puak Arab,” kata beliau sambil menambah:

“Sedangkan perjuangan atas dasar kaum atau bangsa tidak diterima di sisi Nabi Muhammad SAW.”

“Sedangkan di akhirat kelak kita akan masuk syurga. Untuk masuk syurga mestilah dengan syafaat Nabi. Macam mana untuk mendapat syafaat Nabi sekiranya kita berjuang tidak mengikut seruan Nabi,” katanya.
Mengulas mengenai syor terbaru mengenai kerjasama PAS-Umno ini, Nik Aziz (gambar) berkata, isu berunding antara PAS–Umno sudah selesai dan parti Islam itu sudah menolak untuk berunding dengan komponen BN itu.

“Sekarang PAS sudah menerima kerjasama dalam Pakatan Rakyat. Kalau Umno ingin sangat menjaga perjuangan orang Melayu, lebih baik Umno menukar dasarnya kepada Islam.

“Kerana Islam yang menyelamatkan manusia dan kita harus ingat penghujung hidup manusia adalah akhirat.

“Sebab itu, Islam mengajar hidup manusia mesti berpandukan ad-Din iaitu cara hidup berpandukan agama. Hanya agama diambil kira di akhirat,” katanya lagi.

Kata Nik Aziz, atas prinsip agama begini, maka PAS selama 20 tahun mentadbir Kelantan adalah hasil daripada sokongan semua kaum dan agama.

Nik Aziz berkata, mereka mengundi PAS atas nama Islam dan tidak “masakan PAS dapat menang besar pada (pilihan raya) tahun 1990 dan 2008”.

Apa yang berlaku di Kelantan adalah sebagai bukti bahawa dasar Islam diterima oleh majoriti rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik, termasuklah orang Umno turut menyokong dasar Islam yang dibawa oleh PAS, kata beliau lagi.
Dalam pada itu laporan Bernama memetik Nik Aziz pula berkata, beliau sedia bertemu dan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai “apa juga perkara”.

Ketika ditemui pemberita di Kota Baru hari ini, Menteri Besar Kelantan berkata tiada halangan untuknya bersua muka dengan Muhyiddin tetapi perjumpaan itu biarlah tanpa diatur mana-mana pihak ketiga sebagai orang tengah.

“Yang moleknya tak payah orang (tengah). Kalau nak jumpa secara peribadi pun tak apa, boleh sangat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri.

Ulasan

Catatan Popular