KHAIRY KECEWA TERTONGGENG-TERTONGGENG

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini kecewa setelah gagal dalam permohonannya bagi mengenepikan penghakiman ingkar yang diperolehi oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam saman RM100 juta.


Peguam Anwar, SN Nair memberitahu pemberita di sini bahawa Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nazri Yahya menolak permohonan Khairy untuk mengenepikan penghakiman ingkar itu dengan kos.

Anwar turut diwakili oleh Wan Anwar Shadat, manakala Khairy diwakili oleh Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah serta Badrul Munir Bukhari.

Pada 4 Disember 2008 Anwar memperolehi penghakiman ingkar daripada Mahkamah Tinggi terhadap Khairy apabila Khairy gagal memasukkan kehadiran dalam kes itu selepas writ saman diserahkan kepadanya. Khairy menfail permohonan untuk mengenepikan penghakiman itu pada 20 Januari 2009.

Anwar, 63, menfailkan saman terhadap Khairy pada 7 Mac 2008 mendakwa bahawa Khairy sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno ketika itu mengeluarkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya, dan membawa kepada penyiaran klip video di beberapa laman web termasuk Malaysiakini.com, yang bertajuk “Anwar and kin no threat”.

Anwar mendakwa bahawa klip video di laman web Malaysiakini.com itu mengandungi kata-kata fitnah yang diucapkan oleh Khairy di satu ceramah di Lembah Pantai, Kuala Lumpur pada atau sekitar 20 Februari 2008.

Beliau berkata kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud yang beliau (Anwar) terbabit dalam aktiviti yang bertentangan dengan agama Islam, tidak mempunyai karektor yang baik, dan tidak layak memegang sebarang jawatan politik atau kedudukan lain.

Beliau menuntut bayaran RM100 juta sebagai ganti rugi teruk dan teladan serta lain-lain relief yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.

Ulasan

Catatan Popular