Malaysia Negara Islam Tetapi Antara Rakyatnya Antara 10 Tertinggi Mengambil Arak

Oleh MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) memandang serius kenyataan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud yang mendedahkan bahawa Malaysia adalah antara 10 negara tertinggi di dunia dalam pengambilan arak di dunia. Dalam kenyataannya di Parlimen semalam, Dr Mariah juga mendedahkan bahawa rakyat negara ini membelanjakan sebanyak USD500 juta iaitu lebih kurang RM1.75 bilion bagi pembelian minuman keras.

Penjualan arak berkembang di antara 5 hingga 7 peratus setahun melebihi kadar pertumbuhan penduduk iaitu 2.4 peratus, manakala umur purata ketagihan arak ialah 23 tahun. DPPWP juga merasa terkejut dengan pendedahan beliau bahawa terdapat peningkatan kadar pengambilan alkohol di kalangan remaja khususnya di bawah umur 18 tahun iaitu kira-kira 45 peratus, dan mereka mengambilnya secara berterusan.
Di Malaysia, arak boleh diperolehi dengan mudah seumpama membeli air minuman yang lain. Di pasaraya, restoran, hotel, kedai runcit mahupun di kedai serbaneka seperti di 7 Eleven arak dijual tanpa kawalan ketat. DPPWP juga merasa kesal kerana arak dengan mudah mendapat tempat untuk tajaan dan iklan di mana-mana akhbar media arus perdana mahupun di televisyen. Kerajaan pula dengan sengaja memberikan lesen kepada pengusaha kelab-kelab malam dan pusat hiburan untuk beroperasi tanpa kawalan yang sewajarnya. Kelab-kelab malam inilah juga penyumbang kepada berleluasanya minuman arak sehingga menyumbang kepada gejala sosial yang lebih parah.

Bagaimanakah penjualan dan pengambilan arak boleh bertambah dalam keadaan negara Malaysia yang sudah diisytiharkan sebagai sebuah negara Islam dan termaktub juga di dalam Perlembagaan bahawa agama rasmi negara ini adalah Islam. Mengapakah tidak ada kawalan keras dari kerajaan sebagaimana kawalan yang sama dilakukan terhadap penyalahgunaan dadah yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Dalam Islam, hukuman yang sewajarnya kepada peminum arak adalah disebat dengan 40 hingga 80 kali sebatan. Soalnya, mengapa undang-undang ini tidak terpakai khususnya kepada umat Islam?

Sepatutnya arak perlu diharamkan terus di Malaysia. Alasan bahawa negara Malaysia mempunyai masyarakat majmuk tidak boleh diterima sama sekali. Ini kerana kesan arak yang boleh membahayakan kesihatan,sama seperti penyalahgunaan dadah dan menghisap rokok. Arak juga sebagai salah satu penyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia.

Akhir sekali, DPPWP menggesa kerajaan mengetatkan kawalan terhadap penjualan arak seperti mengharamkan penjualannya di kedai-kedai runcit dan serbaneka seperti di 7Eleven. Permis-premis hiburan pula perlu ditutup kerana ia langsung tidak memberi kebaikan kepada rakyat Malaysia. DPPWP juga meminta kerajaan mengharamkan arak untuk diiklankan di mana-mana media eletronik mahupun cetak agar tidak mendapat publisiti murahan. Apakah gunanya hasil cukai yang haram dari arak ini kepada kerajaan sedangkan dalam masa yang sama ribuan umat Islam menderita akibat ketagihan arak dan hidup dalam keadaan berdosa.

Disediakan oleh

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Ulasan

Catatan Popular