Ketua Penerangan PAS terbuka bincang dengan UMNO


Perbincangan antara Kerajaan Pas Kelantan dan UMNO diperlukan jika ia menguntungkan rakyat negeri itu.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Idris Ahmad berkata, perbincangan membabitkan isu saman RM800 juta Syarikat Timbermine Sdn Bhd terhadap kerajaan Kelantan harus diberi keutamaan tanpa campur-aduk dengan isu lain, terutama politik.

“Jika nak bercakap berkenaan isu berkaitan kerajaan, memang tak ada masalah untuk adakan perbincangan bersama, tetapi jika nak bercakap pasal nak jalin hubungan antara parti (Pas dan UMNO), ini bukan tempatnya,” kata Idris.

Semalam, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugan Pandian berkata, Kerajaan Pas Kelantan dan UMNO patut duduk semeja dan mencari titik persamaan bagi menyelesaikan isu saman RM800 juta kepada sebuah syarikat pembalakan, Timbermine Sdn Bhd.

Saman itu diputuskan Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Rabu lalu, setelah mendapati Kerajaan Kelantan melanggar perjanjian yang ditandatangani 35 tahun lalu.

Sivamurugan berkata, jumlah saman itu amat besar dan jika tidak diselesaikan secara bersama oleh kedua-dua parti, rakyat Kelantan, terutamanya Melayu, akan rugi.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan menyerahkan keputusan perbincangan bersama itu kepada pucuk pimpinan UMNO Kelantan.

Ahmad, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pucuk pimpinan UMNO Kelantan lebih jelas tentang isu saman tersebut dan sewajarnya mereka memikirkan kaedah terbaik untuk menyelesaikannya.

“Sekiranya mereka tidak menemui jalan penyelesaian, UMNO pusat bersedia campur tangan untuk menyelesaikannya,” katanya.

Ahmad berkata, rakyat Kelantan harus mengambil berat terhadap semua perkara yang berlaku di negeri mereka selama ini.

“Saya tidak mahu mereka mengambil tahu isu politik sahaja sebaliknya isu membabitkan Kerajaan Negeri di ketepikan. Ini tidak adil namanya kerana jika isu politik Kelantan diberi tumpuan, sudah tentu mereka anggap Pas sahaja yang betul.

“Sebab itulah UMNO Kelantan mahu mengadakan ceramah perdana dan muzakarah dengan rakyat. Ia bertujuan memberi penjelasan tentang politik tempatan dan isu membabitkan Kerajaan Negeri,” katanya.

Ulasan

Catatan Popular