Nik Aziz sedia bersemuka dengan Majlis Fatwa Kebangsaan


KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau sedia bersemuka dengan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan berhubung kenyataannya bahawa ajaran Islam yang diamalkan Umno tidak boleh membawa penyokong parti itu ke syurga.

"Saya sedia berjumpa dengan pihak berkenaan untuk menjelaskan perkara sebenar di sebalik kenyataan saya itu bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul," katanya ketika mengulas keputusan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan bahawa kenyataannya sebagai salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, ulasan negatif yang dikeluarkan pihak tertentu terhadap kenyataannya berdasarkan petikan dalam akhbar adalah tidak adil.


"Mereka perlu tanya saya di mana salahnya, saya sedia menjelaskan secara berdepan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Darul Naim di sini hari ini. Bagaimanapun, Nik Abdul Aziz mengakui bahawa beliau bukan orang yang boleh menentukan seseorang masuk syurga atau neraka.

"Yang menentukan jalan syurga (atau) neraka adalah Allah dan yang memberitahu kepada kita (ialah) Nabi Muhammad S.A.W. dan (apabila) nabi mati tugasnya disambung oleh ahli ulama.

"Saya bukan menentu syurga (atau) neraka yang menentukannya Allah, saya yang menyambung syariat dan jalan ke syurga ialah orang-orang yang Allah beri nikmat bukan nabi-nabi," katanya.

Bagaimanapun, Nik Aziz tetap mempertahankan kenyataannya bahawa ajaran Islam yang dibawa Umno tidak menjamin penyokongnya dapat masuk syurga.

Semalam Nik Aziz menjelaskan bahawa apa yang dimaksudkannya ialah sesiapa saja yang mengasingkan iman daripada Islam tidak akan masuk syurga. - Bernama

Ulasan

Catatan Popular