Cerita Harussani Di Sebalik Peristiwa
Sumber - Ustaz Ahmad Awang
Oleh : Sirajuddin Abbas
Tajuk di atas dipetik dari artikel majalah Milenia Muslim (MM) Bil. 82 keluaran bulan Mei lepas. Ia merupakan tajuk Fokus keluaran berkenaan yang ditulis oleh editor majalah berkenaan, Zulkafly Baharuddin, hasil temubual beliau dengan Dato' Seri (kini Tan Sri) Harussani Zakaria (TSHZ). Di antara lain, kandungan artikel tersebut dipetik:
* "Sekembalinya ke Ipoh, Dato' Seri Harussani menemui Ustaz Ahmad Awang. Ustaz Ahmad berkata beliau tidak akan mahu bekerjasama dengan mereka yang zalim. Bagaimana beliau boleh menganggap sedemikian walhal mereka yang beliau tuduh zalim itu adalah orang Melayu beragama Islam tetapi Ustaz Ahmad lebih bekerjasama dengan orang kafir.
* Hasil dari keengganan Ustaz Ahmad adalah senario politik di Perak hari ini. Ikuti luahan pandangan beliau, terhadap beberapa peristiwa yang berlaku di Perak hari ini ..."
Saya tidak berhajat dalam posting ini menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan oleh TSHZ dalam majalah berkenaan kerana jawapan saya mengenainya akan disiarkan oleh majalah MM dalam keluaran Ogos akan datang seperti yang dijanjikan penerbitnya. Memang saya tidak berpuashati atas kelewatan menyiarkannya, walhal Datuk Hj Mohamad Nakhaie Hj Ahmad, penaung majalah berkenaan bersetuju temubual dengan saya itu akan disiarkan dalam keluaran Jun atau Julai. Tunggulah jawapan dan pandangan saya mengenai luahan TSHZ nanti.
Apa yang saya nak tulis di sini adalah mengenai cerita Harussani di sebalik peristiwa masa lalu di antara saya dengan beliau. Di sini suka saya nyatakan di antara saya dan TSHZ tidak ada sebarang masalah peribadi. Hubungan baik kami tidak pernah terganggu dengan perbezaan pendapat dan fahaman politik. Saya sejak dari kolej sudah menjadi pendokong PAS walaupun saya belum menjadi ahli. Kami sering berbeza pendapat mengenai isu-isu semasa samada berkaitan politik, hukum-hakam, undang-undang dan sebagainya. Tetapi adakalanya pula kami sependapat dan sependirian dalam isu-isu seperti gejala murtad, gejala sosial dan keruntuhan akhlak, isu kumpulan anti-hadith, isu pendidikan Islam dan sebagainya.
Latarbelakang Peribadi
Mengenai latarbelakang peribadi, kami kebetulan sama-sama berasal dari daerah Kerian, Perak. Saya dilahirkan di Simpang Ampat Semanggol, manakala TSHZ berasal dari Jalan Baru, Parit Buntar. Perbezaan usia kami juga tidak jauh, umur saya 73 manakala Harussani 70. Seperti kebanyakan penduduk Kerian, kami berasal dari rumpun keturunan Banjar (Al-Banjari) . Dalam kad pengenalan sebelum merdeka dahulu tertulis di dalam bahasa Inggeris "Malay Banjarese". Dahulunya keturunan Banjar sangat kuat berpegang kepada agama dan ramai yang menjadi ulama'.
Kami mula berkenalan semasa sama-sama menuntut di Kolej Islam Malaya Klang, Selangor. TSHZ adalah penuntut junior saya, kerana beliau memasuki kolej pada 1960 manakala saya sudah berada di tahun akhir dan menamatkan pengajian pada tahun akademik 1961. Setelah tamat pengajian di Universiti Al-Azhar Kaherah, saya balik ke tanah air bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Aminuddin Baki Kuala Lumpur. Ketika itu saya mendapat tahu TSHZ baru saja berpindah ke Pulau Pinang menjawat jawatan Kadhi Besar negeri itu. Sebelum itu beliau bertugas di Bukit Aman dengan PDRM (jawatan beliau saya tidak tahu).
Baca lagi DISINI



Ulasan
Catat Ulasan