PAS umum calon Manek Urai 26 Jun

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN

PETALING JAYA: PAS akan mengumumkan calon yang akan mewakili parti itu dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pada 26 Jun ini.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Mohd Nasir Daud berkata, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan membuat pengumuman tersebut.

"Insya-Allah kita akan umumkan di kawasan DUN Manek Urai lama. Kita nantikan sahaja bila tiba masanya, PAS akan umumkan juga calonnya," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Kerusi DUN Manek Urai kosong selepas penyandangnya, Ismail Yaakob, 60, dari PAS meninggal dunia pada 22 Mei lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil itu pada 14 Julai ini dan penamaan calon pada 6 Julai.

Ismail atau Pak Su Wil memenangi kerusi berkenaan sebanyak lima kali.

DUN Manek Urai terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krai yang mempunyai empat kerusi DUN - Guchil, Dabong dan Mengkebang dan Manek Urai sendiri yang mana semuanya disandang wakil PAS sejak selepas pilihan raya umum Mac tahun lalu.

Sementara itu ketika ditanya mengenai calon yang akan mewakili parti itu di Manek Urai, Nasir berkata, senarai nama calon sedang diteliti dan dipertimbangkan oleh Jatawankuasa Pemilihan peringkat Negeri sebelum diputuskan oleh pimpinan tertinggi PAS pusat.

"Kita (PAS) telah panggil tujuh orang Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Harian PAS daripada 29 cawangan di kawasan Manek Urai. Setiap seorang daripada mereka dikehendaki menyenaraikan tiga nama calon yang dirasakan sesuai.

"Nama-nama yang dipilih itu akan dinilai oleh jawatankuasa pemilihan PAS peringkat negeri. Ini cara kita (PAS) mendapatkan maklum balas daripada ahli-ahli parti di peringkat akar umbi," katanya.

Ditanya mengenai kriteria calon yang akan dipilih oleh pimpinan pusat Nasir berkata: "Calon tak semestinya orang tempatan... yang penting dia (calon) boleh menang dan disukai rakyat. Pimpinan pusat akan melihat faktor-faktor ini untuk pilih calon yang sesuai."

Jelasnya, parti itu juga akan mengadakan ceramah umum berkaitan pilihan raya kecil DUN Manek Urai pada 21 Jun ini.

Ulasan

Catatan Popular