Friday, April 24, 2009

(7) ABO @ Penanti - Memang jadi cacamarba, tak percaya ?

Memang muakpun melihat ramai ahli-ahli Pas, terutama kalangan anak-anak muda, apabila berbadan Pas tetapi berbaju Keadilan. Sesekali semacam hendak menyindir betapa aqidah kepartian mereka sangat senang digoncang hinggut oleh pengaruh apa yang dianggap ‘reformasi’. Bagaimanapun maksud sedemikian tidak jadi apabila berpegang kepada seruan pemimpin tentang perlunya menafikan 2/3 BN. Pembangkang perlu disokong.

Termasuklah saya pun, selalu tergila-gila menyertai ceramah KeAdilan, menyumbang sesuatu tetapi kerana badan sudah tua, kerja seperti Unit Amal saya tidak lakukan.

Jika mahu mengimbau kembali Pilihanraya Kecil Permatang Pauh lalu, dan tidak mustahil jika ada PRK di Penanti kelak, maka akan kelihatan ramai ahli-ahli Pas semacam sudah menjadi ahli Keadilan, malah mereka lebih Keadilan dari Pas, mabuk rasa mabuk nama. Mereka seperti Mat Rempit menaiki motosikal dengan baju KeAdilan, lambang dan bendera KeAdilan lalu singgah di markas-markas KeAdilan dan Pas. Lagak mereka, mereka telah merengkuh habis berbakti kepada KeAdilan.

Ketika berselisih dengan rakan-rakan (ketika ini sudah tidak ketahuan lagi yang mana Pas yang mana KeAdilan) sangat payah hendak membeza yang mana orang KeAdilan dan yang mana orang Pas. Mereka akan melaung dan menjerit ‘Reformasi’ dan bukan lagi ‘Allahu Akbar.’

Yang lebih mendukacitakan, ketika Pilihanraya lalu, ada ahli-ahli Pas lebih menumpukan kerja buat, gerak amal, mencula undi dan tercongok di Pondok Panas KeAdilan lebih dari Pas, jika kawasannya calon Pas tetapi kawasan sempadannya calon KeAdilan.Yang lebih malang pula apabila seorang YB KeAdilan yang cuba memperjuangkan maruah Islam atas nama sebagai individu Islam, membantah kepada kumpulan yang hendak merosakkan perjalanan undang-undang Islam, lalu Parti KeAdilannya hendak mengambil tindakan, orang-orang Pas ini juga marah-marahkan kepada calon tersebut.

Terakhir, dari mulut ke mulut mereka impikan peralihan kuasa melalui KeAdilan (PKR) dan apabila ada pemimpin Pas berceramah, mereka akan merungut dan membeber mulut jika pemimpin Pas mengupas soal Peperangan Kubra atau Nuzul Qur`an dalam kontek politik kini, kerana pemimpin Pas itu tidak mengulas dengan penuh semangat bagaimana peralihan kuasa dan kewibawaan Dato’ Seri Anwar menjadi pemimpin.

Contoh yang digambarkan di atas bukan atas niat cemburu atau sakit hati atau menidak pentingnya kejayaan PKR. Sebaliknya kerana hendak menyambung apa yang diucapkan oleh Presiden Pas, Tuan Guru Hj Hadi Awang satu masa dahulu. Memanglah Presiden Pas itu tidak membuat gambaran seperti senario di atas. Bagaimanapun kerana sikap dan gaya begitu, budaya baru ahli-ahli Pas, maka Presiden mengingatkan begitu.

Sangat penting apabila Presiden Pas mengingatkan semua ahli-ahli Pas agar tidak terlalu terbawa-bawa dengan usaha membentuk kerajaan baru hingga sanggup mengenepikan ideologi parti itu untuk menubuhkan sebuah negara Islam. Yang lebih penting dan perlu diingat ialah bagaimana perlunya konsisten dengan dasar perjuangan, jangan lari dari jemaah.Kemungkinan jauh di sudut hati Presiden, kebimbangannya ialah tidak mahu berlaku kepada ahli-ahlinya yang kononnya sudah mantap dengan aqidah perjuangan, jadi seperti peperangan Uhud; kerana sesuatu, meninggalkan medan perang sehingga lupa kepada pesan pemimpin. Memang apa yang digambarkan di atas telah pun berlaku.Begitulah seperti kata pepatah; lebih sudu dari bubur, berat rantai dari beruk yang ditunjukkan oleh sesetengah ahli Pas apabila berhadapan dengan parti PKR malah PKR sendiri selalu mendabik-dabik dada pula terhadap Pas apabila dilihat pengaruh mereka lebih kuat dari Pas, sedangkan tenaga kerja, sehinggalah menampal postar tetap bergantung kepada Pas.

Saya berpengalaman dalam soal ini ketika Pilihanraya ke 11 yang lalu, apabila menjadi Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) dalam menghadapi pilihanraya dan ini berulang dalam pilihanraya ke 12 dalam kawasan di mana calon PKR bertanding. Kita dapati semangat dan roh, dasar malah prinsip Pas benar-benar susut. Ahli-ahli Pas seperti menjadi ahli baru KeAdilan. Mereka berbangga.

Kita menyebut ini bukan bermaksud menghulur pisau untuk mencantas tali hubungan dan meretak Pakatan Rakyat. Tetapi kita mesti ingat, bagi mereka yang beragama Islam, yang belajar sedikit sebanyak asas agama, apabila memasuki parti, mereka pasti memahami dasar perjuangan, dasar partinya dan itulah pasak pegangan politiknya.

Manakala soal menyokong pakatan untuk menafikan 2/3 majoriti BN soal lain, tetapi bukan menggadaikan dasar dan aqidah politik dari sudut agama yang dipegangnya. Ini soal “ Roditu Islama Dinna!” atau "Kami redo Islam itu agama kami!” Ini bererti jika dalam soal lain, kita sokong menumbangkan BN tetapi dalam masa yang sama kita tidak rela gadaikan Islam.

Inilah soalnya dan inilah yang diperingat oleh Presiden Pas.

Tetapi malang, sebahagian besar pengikut Pas, malah sesetengah dari kalangan pemimpin Pas sendiri sudah terikut-ikut, terbawa-bawa malah sampai menjadikan Penasihat Parti Keadilan sebagai ‘anak angkat’ dan bukan mustahil sebagai ‘anak emas’ pula.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz, selaku Mursyid Am kelihatan lebih berat condongnya, lebih tebal fanatiknya terhadap Presiden Parti Keadilan walaupun tidak merestui 100% dasar perjuangan Parti PKR. Tetapi Tuan Guru lupa, menyokong berlebihan, mengeluar kenyataan yang hebat-hebat sama dengan menyokong dasar perjuangan Anwar Ibrahim. Ini bukan soal kebenaran Dato' Seri Anwar dalam menghadapi fitnah, tetapi ini soal kebenaran dasar parti.

Kenapa membolehkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz menegur Mustafa Ali dan menegaskan Mustafa, sama ada sebagai penganalisis politik atau Pengarah Strategi Pilihanraya adalah sama. Jika teguran ini benar, benarlah juga apabila kita memberi sokongan berlebihan kepada Anwar, bererti juga kita membenar dasar PKR.

Ini kesilapan kita. Ini tarbiah yang tidak disedari oleh Syura Pas ketika berhadapan dengan kebangkitan pengaruh Anwar, sehingga ahli-ahli Pas sudah jadi anak ayam lupa kepada ibunya lalu suka sangat kepada bapa itik.

Maka kerana itu, kita berpendapat teguran dan peringatan Presiden Pas di Kompleks Pas Kedah dulu bukan saja sesuai tetapi sangat perlu dilihat oleh semua peringkat. Kita percaya Presiden sangat kuat mempercayai dan menyintai dasar Pas dan bimbang ahli-ahli Pas lupa tentang dasar sendiri.

Jika trend dan kecenderungan ini berlarutan, ditakdirkan pula PKR menerajui pemerintahan negara, saya sangat kuatir anak-anak muda malah ahli-ahli Pas sendiri yang kini sudah mulai menggilai Dato' Seri Anwar Ibrahim akan berbondong-bongdong mengangkat bungkus minta dibenarkan mengemis di serambi rumah KeAdilan.Apakah demi kerana kita mahu menafikan majoriti 2/3 BN atau terus menumbangkan BN maka Pas sanggup menggadaikan prinsip, dasarnya? Jika jawapannya tidak, maka Pas mulai sekarang, melalui pakar strategiknya, melalui penganalisa politiknya mestilah cepat membendung pengaruh ini, terutama di kalangan anak muda. Selain dari dasar dan prinsip agama, soal unsur sekular juga mestilah diambil kira. Kecenderungan kepada Anwar bukan kerana dasar partinya 100% tetapi kerana beberapa sebab. Di antaranya kerana simpati, ketokohan, berpidato yang tidak menjemukan. Apakah kerana pengaruh ini Pas tidak dapat mengawasi ahli-ahlinya dan jika mengawasi, dengan cara yang bagaimana?

Posted by tukya_azizi

Ulasan

Catatan Popular