Palestine.. Setitis Nilai Persaudaraan

Saya pulang ke Kelantan menaiki kancil milik teman. Tiket ke pantai timur, andai tidak dibeli awal alamatnya melepaslah. Carilah alternatif lain untuk memastikan diri memijak tanah negeri yang dicintai.

Saya sebenarnya ada pengalaman yang amat ngeri dengan kancil, hampir 4 tahun lepas saya menerima kecelakaan semasa memandu kenderaan yang dicop jenama tersebut. Perjalanan kami dari KL ke KB berkesudahan dengan kancil dipandu saya terbalik dengan ke empat-empat tayar di atas.


Alhamdulillah, Allah memberi kesejahteraan kepada kami. Berkali-kali saya memohon maaf kepada teman, risau hatinya remuk seremuk bumbung dan bonet keretanya. Saya berkeras ingin menyaman pemaju jalan yang cuai untuk meletakkan sebarang tanda keselamatan. Saya mangsa ke 4 setelah 3 hari jalan tersebut dibaiki, mangsa ke 5 berlaku didepan mata kami semua saat saya sibuk mempertahankan kesilapan bukan sekadar kelalaian diri. Selang sehari, saya mendapat khabar ada kemalangan maut di lokasi tersebut. Moga-moga menjadi iktibar buat para pemandu dan kontraktor jalan raya.

……..

“Bayangkan kalu kita yang tengah letih, boleh berhenti di mana-mana rumah kat tepi jalan nie. Pahtuh, kita hanya dengan sebut saya saudara awak dalam Islam. Maka tuan rumah terus layan kita, jamu kita makan dan layan kita macam saudaranya yang biasa”


Kami turut menyertai kelompok kenderaan yang bergerak perlahan. Sesekali saya cuba memandang kenderaan yang mengepalai kesesakan musafir kami. Namun tetap sayup tidak kelihatan.

Kawan saya tersenyum. Antara bersetuju atau tidak dengan contoh yang saya hidangkan.
Kami sengaja mencambah idea, mencari tips terbaik menjadikan kembara separuh hari kami bagai perjalananan santai.

Nampak diluar batas, tapi itulah hakikatnya.

Walau contoh saya berikan agak kurang rasionalnya. Tapi untuk menjentik kekuatan persaudaraan yang masih gagal dan pastinya pada masa sekarang berada pada hirarki yang terakhir sebaik ukhwah itu disandar pada hal aqidah.

“Islam hadir dengan ciri-cirinya yang tersendiri. Maka, apa sahaja yang disandarkan kepada Islam seharusnya mewarisi sifat yang dimiliki oleh Islam itu sendiri” lontaran kefahaman yang cuba saya tanamkan dalam kuliah dasar tamrin beberapa hari lepas.

Sudah lama tidak bersama-sama terlibat dengan tamrin adik-adik universiti semenjak saya meninggalkan alam tersebut. Menghirup udara segar dalam tarbiyyah, bercakap dengan kelompok pendengar yang mudah 'jeligha' dengan bahasa yang saya gunakan.

“Memahami Kalimah Syahadah sebagai Kalimah Toyyibah, Kalimatul Haq, Kalimah Tsabitah .. maka ukhwah yang disandarkan kepada kalimah tersebut harus terbina dan memiliki ciri yang sama. Ukhwah yang Toyyibah, Ukhwatul Haq.. Ukhwah yang Tsabitah” saya menambah.

Ada mengangguk faham, ada mengangguk mengantuk,

TEMAN.. SAUDARA KITA MENDERITA DI SANA

“Siapa yang tiada langsung merasai simpati dan boleh berasa tenteram di sini. Boleh seronok bersama anak isteri. Memenuhi hujung minggu dengan riadah dan rekreasi. Tanpa ambil masa sedikitpun untuk merenung kesedihan ummat di Palestin, itu tanda hatinya telah mati
” Saya terpaksa melafazkan kalimah sebegitu.

Sedih bila melihat umat yang tidak bena dengan nasib saudara seagamanya.

…………………

“Saya sokong apa yang kamu buat. Saya kata bukan kerana agama, tapi atas dasar humanity”
Itu bicara seorang singh.

Jiwanya tersentak sebaik menerima risalah boikot yang dilancarkan pemuda. Gambar menyayat hati anak palestin yang menjadi korban sengaja ditunjukkan bersebelahan sebaik risalah bertukar tangan.

“Pizza Hut macam mana? Boleh makan?” Soal seorang gadis free hair. Hajatnya untuk parking mengisi perut dicantas rasa bersalah sebaik menerima risalah kami.

“Hmm… kira adik beradik mereka laa tuh” sahabat pemuda memberi penjelasan. Namun penjelasan secara lisan berjaya memesongkan matlamat asal gadis tersebut.
Di lokasi lain, sepasang kekasih terpaksa membatalkan hasrat untuk melanjutkan temu janji di McD sebaik teman wanita enggan memasuki restoran segera tersebut. Lama mereka tarik menarik di pintu masuk. Kesudahannya, keduanya kembali menaiki kereta dan berubah lokasi.

“You dah mengganggu customer, you ganggu lalulintas. Ganggu mereka yang makan, sekarang mereka dah tak selesa untuk makan di sini” Teman kami diherdik seorang wanita melayu separuh abad yang mengurus salah sebuah restoran sasaran tersebut. Tangannya dihala ke arah pelanggan cina yang kebetulan melepasi kami. Namun, dia mula tidak senang duduk sebaik pelanggan tersebut menafikan mereka terganggu.

“what would you do if you at my place?” lagaknya mula mencanak.

“If I at you place.. I will QUIT!!” teman membalas dalam loghat yang tidak kurang hebat. Tak tahan dirinya makin dipandang rendah dengan kain pelikat dan serban.

Itu kisah.. sedikit penentangan kami terima namun jauh berbanding mereka yang berjuang dengan darah dan air mata mereka di bumi Palestin.

KOBARKAN SEMANGAT MEREKA

“Cukup jauh untuk bandingkan diri kita dengan mereka ustaz,” seorang teman berbicara sebaik saya bertandang menjamu selera setelah saya selesai memenuhi undangan kuliah sebuah sebuah surau di Rawang semalam. Berulang kali beliau mengulangi kata-kata tersebut. Berkongsi pengalaman sebaik pulang dari Palestin untuk menyampaikan dana-dana sumbangan kepada pimpinan Hamas. Riaknya mempamer kekaguman dengan semangat dan izzah yang lahir dari para pejuang di sana.

Saya sekadar menadah telinga. Biar beliau menghabiskan ceritanya.

Semangat mereka cukup kental, keberanian mereka tidak sebagaimana kita yang masih teragak-agak dalam perjuangan. Keyakinan mereka kepada Allah amat jauh untuk dibandingkan dengan kita. Kerana itulah, bersyukurlah Allah meletakkan ‘jiwa-jiwa penakut’ seperti kita untuk sekadar berjuang di bumi Malaysia. Berjuang dengan harta dan doa buat mereka. Usah mengharap untuk berada dalam barisan dan bersama dalam kelompok mereka andai nafsu-nafsu diri masih belum tertewas.

Rezeki mereka… Allah hadirkan dengan seorang tua yang tugasnya semata-mata memasak dan menghantar makanan kepada pimpinan Hamas. Jalan yang dilaluinya setiap pagi dan petang adalah ditengah-tengah ribut peluru. Namun Allah Maha Memelihara. Dia senang berjalan dengan penuh keberanian ditengah medan tersebut.

Berhadapan dengan situasi ini, mengundang jiwa yang bercampur baur. Sedih.. marah.. gembira.

Sedih melihat susuk tubuh anak-anak kecil bagai saudara dikampung sendiri. Terbayang anak-anak saudara yang memanjat belakang, bermain-main di sekeliling. Mungkin raungan kita lebih dari ibu-ibu di Palestin andai anak-anak diperlakukan begitu. Malah mungkin jauh tersasar dengan menyalahkan takdir dan ujian Ilahi. Rapuhnya jiwa kita.

Gembira dengan suatu janji yang telah ditempuh dan dilalui oleh mereka. Kita?? Jauh sekali.. mungkin bercita-cita untuk mati sakit tua di atas katil. Begitu cita-cita kita??? Usah bercita-cita untuk syahid andai sudah riuh sekampung dengan luka yang sedikit.. dengan tangan kaki dan tangan yang patah kemalangan. Manja dan lembiknya hati kita. Saudara kita di sana, siapa yang menyapu ubat-ubat merawat luka anak-anak yang kehilangan ibu bapanya.
Apa rezeki yang bakal mengisi perut mereka setelah bapa tidak pulang-pulang sebaik keluar mencari gandum..
Siapa yang akan mengusap air mata ibu-ibu janda yang kesedihan berpisah cinta dengan suaminya..
Bayi-bayi yang dilahir terjajah.. siapa yang bakal menyusui mereka mengganti dada-dada ibunya yang syahid.

Kejamnya kita..
Kita masih mampu bersenang untuk tertawa dan bergurau senda dengan anak isteri..
Seronok mengisi malam menonton rancangan hiburan dan jenaka..
Ketawalah sehingga terbahak-bahak dirimu..
Andai itu menjadi pilihan kamu..

Teman…

Kita kat sini, dahlah cukup kecil bantuan yang mampu diberikan. Jangan ditambahkan kekecewaan mereka dengan sikap kita. Lebih dalam kesedihan mereka andai perjuangan mereka di sana dicemuh oleh mereka yang seagama. Anak kita ke.. adik kita ke.. yang mana lebih memberi kesan kepada jiwa mereka. Adakah penghinaan yang diterima oleh orang luar atau cercaan oleh ahli keluarganya sendiri.

Menderma jauh kurangnya… boikot pun masih curi-curi untuk terus membeli produk yang terlarang. Asap rokoknya tidak kurang buat penyumbang dana zionis dan penyebab sakit anak isteri.

Teman..
Apakah yang menyebabkan kita terus gagal untuk merasai luka-luka tembakan yang menembusi susuk tubuh saudara kita di sana..?
Ya.. kerana nafsu kita telah lama dibajai dengan selera dan kehidupan musuh-musuh Islam.
Usah mengharapkan Allah untuk memandang kita dengan pandangan RahmatNya, andai tika saudara bermain darah di sana.. tiada setitispun air mata kita menitis mengiringi doa buat mereka.
Usah bermimpi sama-sama mencium aroma syuhada’ mereka andai hati kita jauh sekali lintasan untuk berjihad dalam barisan yang sama.








AbeJoes@abejoes.blogspot.com

Ulasan

Catatan Popular