Nizar tegas tidak undur, MB baru esok

Sumber : Malaysia Kini
Feb 5, 09

kemaskini 6.26pm Perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meninggalkan Istana Kinta jam 6.15 petang.

Difahamkan majlis angkat sumpah menteri besar BN dan barisan exconya akan mengangkat sumpah esok.

Sumber pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang sedang berkubu di kediaman rasmi menteri besar menyatakan, mereka tetap mengadakan perhimpunan besar di lokasi tersebut seperti dirancang walaupun diberikan amaran oleh polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tengah hari ini berkata polis tidak akan bertolak ansur terhadap mereka yang mengadakan sebarang perhimpunan di negeri itu.


kemaskini 6.13pm Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin mengutuskan surat rasmi kepada istana Perak, menjelaskan sebab beliau tidak melepaskan jawatan sebagai menteri besar Perak.

Beliau juga menjelaskan barisan pemimpin Pakatan Rakyat "sebulat suara" meminta beliau tidak meletakkan jawatan sehingga krisis sekarang "diputuskan oleh mahkamah atau Dewan Undangan Negeri."


kemaskini 5.52pm Perdana menteri tiba di Istana Kinta, Ipoh jam 5.50 petang, dipercayai untuk majlis angkat sumpah menteri besar baru dan pembentukan kerajaan baru BN.


kemaskini 5.01pm Perdana menteri dijangka tiba di Istana Kinta, Ipoh tidak lama lagi, dipercayai untuk majlis angkat sumpah menteri besar baru.

Timbalan perdana menteri, yang juga ketua perhubungan Umno negeri, dan barisan wakil rakyat BN dilaporkan sudah berada di istana berkenaan.

kemaskini 4.55pm Polis telah mengepung bangunan pentadbiran kerajaan Perak, dan mengarahkan semua exco Pakatan Rakyat serta para pembantu mereka meninggalkan bangunan tersebut.

kemaskini 4.50pm Kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat menyokong penuh Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar .

Mereka juga meminta supaya pilihanraya baru diadakan untuk mengesahkan mandat baru daripada rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mereka akan memohon untuk menghadap Sultan Perak berhubung isu tersebut.

Setakat ini, semua pimpinan tertinggi Pakatan berkubu di kediaman menteri besar, dengan harapan semakin ramai penyokong hadir menyatakan sokongan padu kepada Mohamad Nizar.

Pakatan juga akan menganjurkan satu perhimpunan besar di kediaman menteri besar seawal 7 malam ini.

kemaskini 4.40pm Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberitahu satu sidang akhbar bahawa beliau tidak akan meletak jawatan sebagai menteri besar.

Beliau menggesa rakyat supaya menyokong kerajaan Pakatan.

Beliau juga berkata, Speaker DUN telah memfailkan kes di mahkamah berhubung kesahihan surat peletakan jawatan bekas Adun-adun Pakatan yang keluar parti.

Menurutnya, adalah wajar untuk menunggu mahkamah memutuskan kes tersebut.

Oleh itu, katanya, majoriti BN (sekarang) mungkin tidak sah.

kemaskini 4.05pm Setiausaha kerajaan negeri Perak, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim telah mengarahkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan semua anggota exconya supaya mengosongkan pejabat masing-masing dengan segera.

Mereka juga diarahkan supaya memulangkan semua aset kerajaan negeri, termasuk kunci pejabat dan menyerahkan kenderaan rasmi dengan segera.

Mereka juga dilarang memindahkan sebarang dokumen dari bilik masing-masing.

kemaskini 3.28pm Speaker DUN V Sivakumar mendakwa dipujuk menyertai BN dengan sejumlah wang dan jawatan penting peringkat negeri dalam MIC.

Lobi agar mereka meninggalkan Pakatan Rakyat bermula sejak selepas pilihanraya umum Mac tahun lepas.

kemaskini 3.20pm Pemimpin-pemimpin atasan ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat berada di dalam kediaman rasmi menteri besar Perak.

Datuk Seri Nizar Jamaluddin - yang diarahkan meletakkan jawatan serta-merta bersama barisan exconya - dijangka mengadakan sidang media tidak lama lagi.

Ulasan

Catatan Popular