Marahkan suami, al-Quran dihina

Dipetik dari Malaysiakini



Seseorang mungkin terlalu geram dan kecewa terhadap suami sendiri - tetapi kenapalah al-Quran pula yang harus menjadi mangsanya?

Kitab suci itu digunting dan diconteng dengan perkataan-perkataan yang sarat kemarahan dan maki-hamun.

Contengan-contengan di halaman kitab tersebut membayangkan kekecewaan yang sangat mendalam terhadap pasangan hidupnya, antaranya "hang memang tak adil", "siksaan demi siksaan kamu bagi kenapa", dan "kenapa jodohkan aku".




Menurut satu perkumpulan belia, naskhah al-Quran itu ditemui oleh seorang pengutip barangan lusuh di sebuah tong sampah di Taman Jalai Jaya, Jitra dalam daerah Kubang Pasu pada Khamis minggu lalu.

Setiausaha Perikatan Belia Bersatu Malaysia (Pembela) Basir Ismail memberitahu Malaysiakini hari ini, naskhah itu kemudian diserahkan kepadanya petang semalam di pejabatnya di Bandar Darulaman.

"Lebih 30 muka surat tertulis perkataan yang mencerca, maki dan mengutuk Allah, di samping lukisan gambar kemaluan lelaki iaitu dari surah al-Baqarah hingga al-Imran," katanya dalam satu kenyataan, dengan memberikan contoh 10 ungkapan maki-hamun yang terdapat dalam naskhah al-Quran yang dirosakkan itu.

Malaysiakini bagaimanapun memutuskan tidak menerbitkan semula senarai ungkapan, bertulisan merah, yang penuh cercaan tersebut.

"Pembuangan al-Quran di dalam tong sampah dengan coretan perkataan yang menghina Allah adalah suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan perlu disiasat oleh pihak yang berwajib," tambahnya.

Menurutnya, presiden perkumpulan belia itu Ir Mohd Jamal Nasir bersama beliau akan membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Kubang Pasu esok supaya siasatan lanjut dijalankan berhubung perkara itu.

Pembela, sebuah pertubuhan baru yang belum berdaftar secara rasmi, ditubuhkan Mac lalu.

Menurut blog Pembela (www.pembelawaja.blogspot.com), penubuhannya dirasmikan oleh ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustaffa semalam.


Ulasan

Catat Ulasan

Catatan Popular