Terserlah keperibadian Nik Aziz, minta calon BN 'sign' borang

Azamin Amin
Sun | Mar 02, 08 | 8:49:13 am MYT
KUALA LUMPUR, 2 Mac (Hrkh) - Keperibadian mulia dan akhlak penuh hikmah sentiasa terpapar pada setiap tindak-tanduk serta tutur kata Mursyidul Am PAS, Dato' Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat malah lebih terserlah apabila bertemu calon parti lawan yang bakal menentangnya pada pilihan raya umum akan datang.
Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din berkata ini terbukti apabila berlaku satu insiden pada hari penamaan calon yang boleh dijadikan renungan tentang keperibadian Tuan Guru yang amat dihormati itu.

Menceritakan pada hari penamaan tersebut, beliau telah mendapat puluhan sistem pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan bahawa Nik Aziz menang tanpa bertanding namun tidak mempercayainya lalu menghubungi pihak di Kelantan untuk mendapat kepastian.

"Calon Barisan Nasional (BN) telah lupa menandatangani borang pencalonan dan mendapat bantahan. Secara peraturannya Tuan Guru sudah menang tanpa bertanding," katanya.

"Tetapi Tuan Guru tidak mahu menang cara begitu lalu meminta calon BN itu menandatangani semula borang pencalonan tersebut.

"Begitulah sikap penuh hikmah dan ikhlas Tuan Guru yang perlu dicontohi semua pihak," katanya ketika berucap di ceramah di Tambun Tulang, Perlis baru-baru ini.

Tuan Guru Nik Aziz bertanding di Dun N.06 Chempaka melawan Dato' Dr Nik Zain Omar (BN).

Dalam pada itu beliau menjelaskan bahawa sikap yang ditonjolkan oleh Tuan Guru itu melambang aklhak yang dituntut oleh Islam dan telah diterapkan sentiasa kepada ahli-ahli PAS dan pendokong parti dalam menghadapi apa jua rintangan dan cabaran khususnya ketika menghadapi pilihan raya.

Beliau dalam pada itu memuji displin yang tinggi yang ditunjukkan oleh ahli, petugas dan penyokong PAS yang sentiasa mematuhi arahan dan tiadak membuat 'kekacauan' seperti pihak lain yang tidak bertanggungjawab.

"Tengok hari penamaan calon di Perlis ini, hampir 3,000 orang menyokong dan mengikuti perarakan mengiringi saya tetapi setelah selesai, tidak ada secebis sampah sarap pun ditinggalkan. Semua dibersihkan oleh penyokong PAS.

"Begitu juga dengan perhimpunan Bersih yang kita anjurkan bersama-sama puluhan ribu penyokong PAS, berjalan lancar, aman dan tidak berlaku insiden yang tidak diingini," katanya

Sikap ini kata Dr Haron adalah ajaran Islam kepada umatnya supaya sentiasa tampil berakhlak dan menjadi umat Islam yang baik sama ada dalam melaksanakan tugas atau amal ibadat kepada tuhannya.

"Inilah yang diterapkan di dalam PAS dan sewajarnya menjadi kayu ukur kepada semua pihak untuk menilai apa yang PAS perjuangkan selama ini.

"Seterusnya memberi peluang kepada PAS untuk mentadbir negeri di bawah kepimpinan ulama yang akan melaksanakan tanggungjawab berlandaskan tuntutan al-Quran dan Sunnah," katanya.

Ulasan

Catatan Popular