Peniaga: Polis pecahkan lutut saya sewaktu perhimpunan

Oleh Fawaz Abdul AzizMalaysiakini
Kecederaan yang dialami oleh Aleyasak Hamid Ali Hassan, seorang penjual goreng pisang, menjadi bukti kekerasan yang digunakan oleh anggota polis ketika meleraikan perhimpunan anjuran Bersih di Kuala Lumpur Sabtu lalu. ebenarnya, beliau ke ibunegara pada hari berkenaan semata-mata mahu melihat sendiri perhimpunan tersebut, tetapi ia berakhir dengan lututnya pecah dipijak dan ditendang dengan kuat oleh "anggota polis" di kawasan Masjid Jamek.
Dia juga tidak memakai baju warna kuning, tetapi mengenakan pakaian berwarna hitam dan tidak terlintas di hatinya untuk menyertai perhimpunan tersebut.
"Tidak pernah terbayang yang saya akan berakhr begini, dengan kaki saya hancur dicederakan oleh mereka yang sepatutnya melindungi orang ramai daripada keganasan," kata Aleyasak, 31, dari Kajang Selangor.
Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh Bersih - gabungan 67 badan bukan kerajaan (NGO) dan lima parti politik yang menuntut pembaharuan pilihanraya. Kira-kira 40,000 orang berhimpun di Istana Negara dan memorandum mengenainya telah diserahkan kepada wakil Yang di-Pertuan Agong.
Aleyasak - yang mendakwa bukan ahli mana-mana NGO atau parti politik - adalah antara mereka menjadi mangsa tindakan polis yang meleraikan perhimpunan di kawasan Masjid Jamek. Polis berkata, ia perhimpunan haram selepas menolak permohonan permit dari pihak penganjur.
Ketika ditemui Malaysiakini semalam, Aleyasak baru empat jam keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dalam keadaan kesakitan ketika menggerakkan kakinya, Aleyasak menceritakan pengalaman yang menimpa dirinya, sambil ditemani oleh isterinya, Maryam Jameela Megat Mohd Yusof, yang duduk di sebelahnya.
"Saya telah membaca mengenai perhimpunan Bersih dalam akhbar sebulan lalu. Memandangkan ibu mertua saya mengadaka rumah terbuka sempena Hari Raya pada petang Sabtu, jadi kami mengambil keputusan untuk pergi melihat apa yang berlaku," katanya.
"Semasa terperangkap dalam kesesakan lalintas, kami dapat melihat orang ramai berdemonstrasi secara aman - mereka tidak membawa apa-apa. Jadi saya turun dari kereta pada jam 3.30 petang di satu sudut Jalan Tun Perak dan Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk melihat mereka dari jauh."
Bunyai 'pop'
Manakala isterinya pula terus memandu kereta menuju ke rumah ibunya di Kampung Baru. Tidak 10 minit kemudian, anggota pasukan polis anti-rusuhan menguasai kawasan di depan Masjid Jamek.
"Sekumpulan peserta perhimpunan berhampiran Masjid Jamek berlari ke arah bangunan Dewan Bandaraya (di Jalan Raja Laut). Saya ternampak beberapa anggota polis mengejar mereka. Mereka lari ke arah tempat saya berdiri.
"Orang ramai menjerti 'Lari! Lari! jadi saya naik takut dan berpusing untuk lari dari situ.”
Bagaimanapun, selepas berlari sejauh beberapa meter, Aleyasak tergelincir dan jatuh tertiarap di atas laluan pejalan kaki. Ketika itu empat anggota polis yang tidak beruniform menerpa ke arahnya. Mereka menekan kepalanya ke tanah, manakala seorang anggota lagai memijak lutut kaki kiri Aleyasak yang sedang terlipat.
Katanya, anggota polis itu memijak kakinya sekuat hati dan ketika itu dia terdengar pecak lututnya pecah.
"Saya terdengar bunyi 'pop' dan saya tahu ia telah pecah," katanya.
Ketika diarah berdiri, Aleyasak memberitahu anggota polis itu yang kakinya patah. Anggota polis itu menggunakan kata-kata kesat terhadapnya, dan mengarahnya berjalan tanpa dibantu menuju ke arah sebuah trak polis yang menunggu dekat situ.
Menurutnya, anggota polis berungut "mengapa kita mesti angkat awak? Apa yang istimewa sangat untuk diberi layanan seumpama itu? Kamu hanya pengganggu".
"Seorang anggota polis - saya tidak ingat nama atau nombor di uniform mereka - menendang kaki saya yang cedera itu sehingga terhentak ke trak. Seorang tahanan yang sudah berada dalam trak, bersimpati dengan saya dan membantu saya naik ke dalamnya."
Kira-kira 12 tahanan dibawa ke ibupejabat polis kontinjen. Sebaik sahaja tiba di sana, anggota St John's ambulans terus membawanya ke hospital dan dimasukkan untuk menerima rawatan.
Selepas menjalani pembedahan, Aleyasak diberitahu yang lututnya itu akan mengambil masa tiga hingga lima bulan untuk sembuh. Bagaimanapun, dia perlu menunggu selama setahun sebelum boleh melakukan sebarang kegiatan sukan atau beriadah.
“Saya tidak akan dapat bekerja untuk beberapa bulan akan datang memandang keadaan saya sekarang," katanya.
‘Pohon maaf’
Atas nasihat rakan-rakannya, Aleyasak membuat laporan polis di pondok polis HKL mengenai kejadian tersebut.
Beliau mahu sekurang-kurangnnya mereka yang tertangungjawab menyebabkan kecederaan itu memohon maaf kepadanya, tetapi tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak polis dan kerajaan.
Sementara itu, isterinya, Maryam, 29, berkata kecederaan yang dialami suaminya itu telah menjejaskan mata pencarian mereka.
Maryam - seorang guru tuisyen - berkata beliau terperanjat dan seperti tidak percaya dengan yang telah berlaku terhadap suaminya itu.
"Kita hanya rakyat biasa. Kita tiada kena mengena dengan politik. Mengapa dia diperlakukan sedemikian? Kalaupun polis hendak meleraikan perhimpunan tersebut, suami saya hanya pergi melihat sahaja - mesti ada batasan terhadap apa yang mereka boleh lakukan," katanya.
Beliau berkata, anak-anaknya - berusia enam dan dua tahun - juga tertanya-tanya mengapa bapa mereka cedera.
"Saya tidak mahu mereka keliru dengan memberitahu mereka, polis yang melakukannya terhadap bapa mereka," kata Maryam.
Beliau juga marah dengan mereka yang menafikan tiada keganasan dan kekerasan yang melampau telah digunakan oleh polis terhadap suaminya.
"Saya sangat sedih dan marah. Kami mahukan keadilan. Anda tidak boleh lakukan ini kepada rakyat," katanya.

Ulasan

Catatan Popular