Memo Bersih : PM perkecil raja-raja

Wan Nordin Wan Yaacob
Mon | Nov 12, 07 | 10:40:17 am MYT
KUALA LUMPUR, 12 Nov (Hrkh) - PAS membidas kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyatakan pembangkang mengheret raja-raja ke kancah politik dengan menyifatkan ianya sebagai usaha memperkecilkan pemikiran dan kedudukan raja-raja.


Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar yang menghubungi Harakahdaily pagi tadi berkata, kenyataan Perdana Menteri itu memperlihatkan bahawa Umno kini berada dalam situasi tertekan setelah melihat himpunan rakyat pada sabtu lalu cukup berjaya.

Beliau yang turut kesal dengan kenyataan Perdana Menteri itu menyatakan jika sebelum ini Perdana Menteri menggunakan media untuk mencabar rakyat berhimpun, kini memanipulasikan semula himpunan itu dengan menuduh pembangkang mempolitikkan raja-raja.

Beliau mengulangi pendirian bahawa PAS dan pembangkang lain dalam Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) tidak pernah mempolitikkan raja-raja.

Memorandum tuntutan Bersih kepada Yang di-Pertuan Agong Sabtu lalu adalah suara rakyat yang mana mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan perjalanan pilihan raya di negara ini.

Sebagai institusi yang bertanggungjawab melantik SPR, raja-raja Melayu adalah tempat yang sesuai dan tepat bagi melahirkan suara rakyat terhadap memperbetulkan kepincangan yang ada.

Sementara itu Kamarudin yang juga ahli Parlimen Tumpat turut menyelar kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak berhubung himpunan 100,000 rakyat anjuran Bersih.

Menurut Kamarudin, kenyataan Najib bahawa Umno pun boleh mengadakan himpunan yang sama seperti pembangkang, memperlihatkan ketakutan yang amat sangat pemimpin nombor dua Umno itu terhadap himpunan yang diadakan oleh Bersih.

Amat malang sekali setelah media-media pro Umno memperkecilkan himpunan anjuran Bersih dengan hanya menyatakan 4000 sahaja yang sertai himpunan itu, hari ini TPM pula menyatakan 10,000 yang menyertai.

Kata Kamarudin, rakyat kini tidak boleh diperbodoh atau dicabar lagi, dan natijahnya sabtu lalu kemarahan rakyat dijelmakan dalam himpunan 100,000 rakyat di hadapan Istana Negara.

Terdahulu Perdana Menteri menyifatkan tindakan pembangkang menyerahkan memorandum berhubung dengan beberapa tuntutan mengenai proses pilihan raya di Malaysia kepada Istana Negara sebagai cubaan mengheret institusi raja terutama Yang di-Pertuan Agong ke dalam kancah politik.

"Bagaimanapun, saya percaya Yang di-Pertuan Agong lebih matang dan tidak terperangkap dengan taktik politik mereka (parti pembangkang)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konges ke-22 Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan di Hongkod Koisaan KDCA, semalam.

"Tentu sekalilah. Apabila mereka bertindak begitu, mereka cuba mengheret raja dan Yang di-Pertuan Agong atau memerangkap (Yang di-Pertuan) Agong dalam politik mereka," kata Abdullah.

Sabtu, seramai 10 wakil termasuk Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang; ; Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; dan beberapa pimpinan NGO menyerahkan memorandum itu kepada Istana Negara.

Dianggarkan lebih 100,000 rakyat berhimpun di merata tempat sekitar Kuala Lumpur setelah pihak polis bertindak menghalang himpunan dari pelbagai arah menuju ke himpunan besar di Istana Negara.

Seramai lebih 40 peserta himpunan ditangkap dan dibebaskan pada hari yang sama.Polis telah menggunakan 'water cannon' dan gas pemedih mata untuk menghalang himpunan di Dataran Merdeka yang mahu meneruskan himpunan ke Istana Negara.

Ulasan

Catatan Popular