8 Okt 2007

Hanya hudud mampu cegah jenayah
chedet8 Okt 2007 0 Komentar

Subky Abdul Latif
Mon | Oct 08, 07 | 1:51:30 pm MYT
Keterangan polis dalam seminggu ini menyebutkan kadar jenayah di Malaysia pada keseluruhannya adalah meningkat. Hanya di tempat tertentu kadar itu menurun, tetapi pada umumnya ia meningkat.

Ada pun cerita jenayah itu meningkat itu sudah lama. Seperti keadaan harga barang. Ia tidak pernah turun. Ia meningkat dan meningkat.

Dalam tulisan saya sebelum ini, telah saya sebutkan bahawa keadaan jenayah yang parah itu adalah bayaran tunai Allah kepada masyarakat yang menolak hudud. Hudud cuba diperkenalkan oleh PAS di Kelantan dan Terengganu, selian ia adalah perintah Allah, tetapi ia saja undang-undang yang paling berkesan bagi mencegah jenayah.

Tetapi ia bukan sekadar dihalang oleh kerajaan Pusat, malah dipersenda oleh masyarakat Islam yang mempertahankan undang-undang ciptaan manusia itu.

Kedua-dua pimpinan ulama utama PAS, Tuan Guru Mursyidul Am Nik Abdul Aziz dan Presiden Ustaz Abdul Hadi Awang memberi komen serentak terhadap kenyataan polis tentang peningkatan jenayah itu, mengesahkan ubat kepada penyakit sosial itu adalah melaksanakan hudud.

Tok Guru Nik Aziz bercakap begitu dalam interbiu dengan Harakah dan Tuan Guru Abdul Hadi pula ketika berucap di Maahad Tahfiz di Tok Jiring dekat Kuala Terangganu.

Kedua pemimpin PAS itu mengingatkan kembali betapa jenayah dalam masyarakat bukan sekadar tidak dapat dihapuskan, malah tidak dapat diminimakan selagi tidak dilaksanakan undang-undang ciptaan Allah khususnya hudud.

Sejak mula PAS membuat tuntutan supaya dilaksanakan undang-undang Islam di Malaysia merdeka ini, tujuannya selain dari mentaati perintah Allah, adalah demi mententeramkan negara dan masyarakat dari semua bentuk maksiat termasuklah jenayah.

Isu itu tambah menonjol apabila Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dalam satu pilihan raya kecil DUN dekat Kuala Terengganu hujung 80-an mencabar supaya PAS merangka undang-undang hudud.

Ia memberikan ruang yang lebih ketara kepada PAS untuk menerangkan secara terperinci tentang hikmat pelaksanaan hudud itu.

Pilihan raya kecil itu adalah untuk mengisi kerusi yang dikosongkan oleh Ustaz Baharudin dari PAS yang kemenangannya dibatalkan oleh mahkamah.

Cabaran Dr. Mahathir itu dipercayai bukan kerana mahu hudud itu dilaksanakan tetapi untuk menjauhkan lagi PAS dari masyarakat bukan Islam, kerana antara hukum hudud itu adalah mengerat tangan pencuri. Masyarakat bukan Islam gerun mendengar hukuman itu, maka diharapkannya pengundi bukan Islam tidak lagi mendekati PAS.

Tetapi ia adalah kesempatan pula bagi semua penduduk untuk mengikuti penjelasan dari PAS tentang hikmat pelaksanaan hudud itu. Ia saja undang-undang yang dapat menyelesaikan kejadian jenayah yang berleluasa dalam masyarakat.

Sebelum kemunculan Islam di Makkah, masyarakat jahiliyah Arab bergelumang dengan jenayah. Pelaksanaan hudud berikutan masyarakat Arab menerima Islam, jenayah dapat dibenteras.

Amerika adalah bangsa yang paling maju dengan undang-undang jenayah yang ketat dan polis yang cekap, tetapi pembunuhan di New York bukan lagi mengikut hari tetapi mengikut jam. Setiap jam ada pembunuhan.

Undang-undang manusia telah terbukti gagal untuk mengekang jenayah.

Antara yang dijelaskan, selain dari jenayah itu amat berkurangan oleh pelaksanaan undang-undang yang menggerunkan tetapi adil, Allah tanamkan ke hati orang ramai rasa benci kepada semua bentuk jenayah. Justeru itu mereka tidak melakukan jenayah. Akhirnya jenayah itu hapus bukan kerana banyak tindakan yang dilakukan, tetapi kerana orang ramai dengan sendiri tidak melakukan jenayah.

Yang menghapuskan jenayah itu bukan kerana polis cekap dan kuat kerja, tetapi keberkatan yang Allah beri menyebabkan tiada kejadian jenayah.

Ia menambah kefahaman umat Islam tentang hikmat hudud dan orang bukan Islam ada pengetahuan mengenainya.

Dan apabila undang-undang itu diluluskan oleh DUN Kelantan dan Terengganu, kerajaan Malaysia dan Umno menolaknya dan berloyar buruk pula dengannya. Maka hudud tidak dilaksanakan.

Dulu jenayah itu terus ada kerana hudud tidak ada. Ia tidak seteruk sekarang kerana antara pemimpin kerajaaan dan Umno yang melaksanakan undang-undang dan memerintah tidak mendapat penjelasan Islam yang cukup tentang hudud.

Sekarang mereka telah mendapat penjelasan yang cukup. Tetapi mereka menolaknya dan rakyat pula menyokong kedegilan kerajaan itu. Maka apakah balasan kepada orang-orang yang ingkar itu? Allah turunkan bala. Jenayah yang kian banyak itu adalah bala kerana tidak menerima ajaran Islam yang mengatakan hudud boleh mencegah jenayah. Kerajaan mengaku undang-undang Islam itu elok dan sempurna tetapi terus bebal dengan menolaknya.

Nurin yang belum baligh menjadi mangsa pembunuhan. Apa salahnya? Dia tidak bersalah tetapi masyarakatnya dan kerajaan yang berkuasa atas masyarakatnya menolak hudud.

Kerajaan kononnya bersungguh memerangi jenayah termasuk rasuah, ditambah polis dan staf BPR, dilatih mereka, tetapi percayalah selagi hudud tidak dilaksanakan, semua bentuk jenayah akan berganda dan peperangan terhadap rasuah adalah gendang kosong.

Ia akan menjadi kerajaan yang sia-sia./tajdid
In Category :
DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN WANGSA MAJU Blog Rasmi DPPWM Facebook dan Twitter

0 Komentar

Catat Ulasan

................................................................................................

SEBARANG INFAQ / DERMA BOLEH DISALURKAN KEPADA

AKAUN DEWAN PEMUDA PAS
KAWASAN WANGSA MAJU
No. Account : 564557122098
Bank : Maybank
Branch : Wangsa Maju

................................................................................................

Disclaimer

Disclaimer/ Penafian

The views expressed in the posts and comments of this blog do not necessarily reflect the Dewan Pemuda PAS Kaw. Wangsa Maju (DPPWM). They should be understood as the personal opinions of the author or commenter. Your words are your own, so be nice and helpful if you can.

Tulisan dan komen daripada pembaca terhadap artikel di atas adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian dppwm.blogspot.com. DPPWM tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan dan komen berkenaan.