Selamat duduki UPSR, selamat jalan BM sebagai bahasa ilmu!

Oleh LANH

Mulai hai ini, 511,379 murid Tahun Enam akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Diucapkan selamat berjaya kepada semua pelajar. Didoakan semua cemerlang agar ia dapat dijadikan hadiah terbaik untuk negara tercinta yang menyambut ulang tahun kemerdekaannya ke-50.

Untuk pengetahuan semua, tahun ini adalah yang terakhir pelajar sekolah rendah menduduki kertas Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Mulai tahun depan semuanya dalam bahasa Inggeris kecuali subjek Bahasa Melayu. Jadi diucapkan selamat jalan kepada bahasa Melayu yang menjadi bahasa ilmu Sains dan Matematik selama ini.


Di peringkat sekolah menengah, semua subjek berkaitan Sains dan Matematik seperti Biologi, Kimia dan Lukisan Kejuruteraan dalam peperiksaan awam (PMR, SPM dan STPM) sudah dijalankan dalam bahasa Inggeris.

Semoga selepas ini akan pandailah anak-anak terutama di pedalaman, dari Perlis sampai Sabah, bereksperimen dan menghitung dalam bahasa Inggeris. Lupakan saja bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Kita bina dunia baru yang pasti akan menggembirakan Putera Andrew anak Ratu Elizabeth II yang turut diundang memeriahkan sambutan kemerdekaan kita.

Bagi memeriahkan sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-50, apa kata kita adakan majlis-majlis seperti bercakap bahasa Inggeris tanpa henti dalam pembelajaran Sains dan Matematik selama 50 jam, 50 hari, 50 bulan dan seterusnya bagi mentalkinkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Selamat datang bahasa Inggeris, selamat jalan (sayonara) bahasa Melayu! – lanh

Ulasan

Catatan Popular