Kenaikan harga ayam: Kerajaan seolah-olah langsung tiada kuasa

Roy Rasul
KUALA LUMPUR, 12 Sept- Kenaikan harga ayam di pasaran menggambarkan seolah-olah kerajaan hilang kuasa untuk menetapkan harga silingnya.

Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam sekitar PAS, Dr Mariah Mahmud berkata, ini kerana kerap kali ada bantahan daripada kumpulan-kumpulan peniaga dan pembekal kerajaan tewas dengan mereka.

Manakala rakyat pula katanya, sudah mangli dan akur biarpun mereka tidak mendapat pembelaan daripada kerajaan.

"Fenomena ini sering berlaku setiap kali kita menyambut puasa dan hari raya dan harga barang akan naik. Ini sudah termaklum rakyat bagaikan mempunyai reaksi biasa.

"Secara saikologinya situasi seperti itu membuatkan rakyat 'give-up" kerana apabila ada kena mengena dengan kepentingan rakyat mereka terpaksa membayarnya," katanya semasa dihubungi Harakahdaily hari ini.


Semalam Penasihat Persatuan Pemborong Ayam Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Lee Chong Meng, berkata kenaikan itu tidak dapat dielakkan memandangkan kos pengeluaran yang naik terutama bahan makanan ayam ternakan yang turut naik mendadak di pasaran.

"Kenaikan berlaku sekurang-kurangnya sekali ganda sejak awal bulan lalu. Malah jika penternak masih terikat dengan harga ditetapkan kerajaan, mereka (penternak) akan mengalami kerugian," kata Lee yang dipetik sebuah akhbar tempatan.

Dalam pada itu, Dr Mariah berkata memang senang seseorang pemimpin membuat cadangan agar memboikot harga ayam.

Katanya, walaupun hanya seminggu diboikot pengguna harga ayam jatuh tetapi mereka kena ingat harga ikan pula akan naik.

Akhirnya beliau berkata, rakyat terbanyak tidak ada ketahanan seperti kata pepatah 'mentimun dengan durian' digolek luka menggolek pun luka.

"Begitulah keadaan rakyat negara ini biarpun merdeka 50 tahun tapi masih tertindas bukan saja minda tetapi mereka tidak boleh berbuat apa-apa," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (adun), Anak Bukit, Amuruddin Hamzah berkata, kenaikan harga ayam adalah kesan kenaikan harga minyak.

Apatah lagi katanya, kos perbelanjaan harian semakin meningkat dan keadaan itu diambil kesempatan peniaga.

Malah katanya, yang dihubungi Harakahdaily hari ini berkata, kerajaan juga perlu mengambil sikap proaktif dalam memastikan apakah benar dakwaan bahawa kos bahan makanan ternakan meningkat sebagaimana didakwa para penternak baru-baru ini.

"Kalau itu hanya alasan mereka harus bertindak untuk menetapkan harga siling dalam keadaan munasabah dan kemudiannya membuat pemantauan dan diikuti untuk membuat keputusan untuk dikuatkuasakan," katanya.

Dalam masa sama katanya kerajaan perlu menagmabil tindakan jangka panjang untuk mengeluarkan produk makanan sendiri tanpa bergantung kepada negara luar.

Katanya, seharusnya ada usaha yang serius ke arah itu kerana ia sekali gus dapat mengurangkan harga dalam pasaran tempatan.

Ini katanya, bebanan kenaikan harga barangan akan ditanggung pengguna

Justeru itu katanya, kehidupan rakyat akan lebih susah daripada sebelum ini.

Gabungan Persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (Fomca) pula berkata, kegiatan menaikkan harga ayam menyalahi peraturan sebagaimana ditetapkan kerajaan.

Pengarah Perhubungan Korporatnya, Yusuf Abdul Rahman berkata ini kerana ada peniaga yang menaikkan harganya daripada RM6.50 hingga RM7.00 sedangkan untuk musim perayaan kerajaan hanya bercadang menetapkan lebih kurang RM5.60.

"Ini satu tindakan yang tidak wajar dan jika ada peniaga yang berbuat demikian pengguna boleh membuat aduan kepada persatuan pengguna ataupun kepada penguatkuasa kementerian," katanya semasa dihubungi Harakahdaily hari ini.

Bagaimanapun beliau juga berharap kerajaan mengambil tindakan tegas dan mengotakan amaran mereka kepada para peniaga.

Malah katanya kerajaan mesti menjalankan pemantauan secara berterusan terutamanya di kawasan luar bandar.

"Biasanya di kawasan luar bandar mereka tiada akses untuk membuat aduan dan di situ pihak berkuasa perlu menjalankan pemantauan secara lebih kerap dan berkala bagi membantu masyarakat luar bandar agar mereka tidak sewenang-wenangnya diambil kesempatan oleh peniaga," katanya.

Dalam pada itu katanya pengguna boleh membuat aduan aduan kepada pusat khidmat aduan nasional iaitu di talian 03-78779000 atu email nccc@nccc.org.myAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya - mns

Ulasan

Catatan Popular