Syabas Harakah!!! - Nik Aziz

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob.


KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Hrkh) - "Syabas Harakah", inilah kata-kata peransang yang terpancar dari mulut manis Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sewaktu merasmikan Majlis Makan Malam Sempena 20 Tahun Harakah di sebuah hotel dekat sini malam tadi.

Kata-kata azimat ini diikuti dengan saranan dan nasihat Tuan Guru Nik Abdul Aziz kepada pengamal-pengamal media terutamanya wartawan supaya memikul amanah sebagai pembela kepada masyarakat.


Sambil mengingatkan warga media supaya melaksanakan tugasan sebagai penyampai laporan, analisis dan pandangan beliau juga mahu golongan ini menjadi nadi suara rakyat.

Beliau juga menyentuh soal peranan Harakah dan Bloggres yang kini mula ditakuti oleh pemerintah yang merasa bahang suara alternatif ini dalam memugar minda rakyat dengan titipan kebenaran.

Usaha ini katanya perlu diteruskan supaya proses pendemokrasian dan usaha memugar penyelewengan, rasuah dan sebagainya dapat dilaksanakan.

Sementara itu Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, Harakah adalah akhbar yang menghidupkan suasana negara kini yang dikongkong oleh pemerintah.

Peranan media dalam kebangkitan rakyat mereka bukan sahaj untuk sebar maklumat dan berita, mereka juga menyebarkan pandangan yang berlaku, menjadikan penasihat dan pembela kepada masyarakat, kata Presiden PAS.

"Kerana itu tidak patut pemerintah takut kepada akhbar ini kerana pemerintah abaikan demokrasi yang tulen.

Baginya media perlu menyalurkan laporan yang benar supaya rakyat mampu menjadi hakim terkahir dan sekiranya media tidak boleh buat pertimbangan yang adil dalam amalan demokrasi maka ia akan menjadikan rakyat pemilih yang tidak betul dan dizalimi.

Semuanya kerana memilih kerajaan yang dilahirkan melalui pemilihan yang tidak adil, tidak terbuka dan tidak bebas, ujarnya.

Sementara itu terdahulu sebelum majlis bermula, perkarangan hotel di tengah-tengah Jalan Pahang agak sesak seketika selepas solat Maghrib.

Semuanya tertumpu kepada program yang julung kali dianjurkan Harakah setelah warga kerjanya terutama dari bahagian editorial bertungkus lumus melunaskan tugasan masing-masing untuk sambutan Majlis Makan Malam.

Rasa bimbang Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman tentang sebarang kemungkinan tidak ramai yang akan menghadiri program perdana anjuran Harakah ini akhirnya terlerai setalah kira-kira jam 9.00 malam, pintu utama dewan hotel dipenuhi tetamu dan jemputan.

Antara yang hadir ialah, Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din; Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa; Timbalan Presiden KeADILan, Syed Husin Ali; Naib Presiden PAS, Muhamad Sabu dan Ustaz Ahmad Awang; Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah; Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar; Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Bendahari Agung PAS, Dr Hatta Ramli; Pengerusi Lembaga Pengarah Harakah, Dato' Mustafa Ali; Ketua Biro Penerangan DAP, Ronnie Liu; Pengerusi MTRK, Dato' Ibrahim Ali;Pengerusi GMI; Syed Ibrahim Syed Noh dan beberapa NGO lain serta kira-kira 800 tetamu.

Terpancar raut senyuman yang terukir dari wajah penat Ahmad Lutfi dan krew-krewnya yang sejak beberapa hari lalu mengharungi hari-hari getir yang penuh 'sepak terajang' untuk menyiapkan program ini.

Kesediaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Abdul Hadi dan Syed Husin untuk mencuba melakar kaligrafi tulisan cina dengan sedikit tunjuk ajar dari Kelab Penyokong PAS Kaum Cina membuatkan majlis lebih bermakna.

Halwa telinga berupa lagu nasyid dari kumpulan As-Saufee, persembahan anak-anak tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), persembahan sajak dari Dinsman dan Anual Bakri Haron cukup menghiburkan tetamu.

Semuanya berjalan seperti yang dirancang dan keresahan yang melingkari wajah-wajah penat ini terubat jam 12.15 malam tadi setelah semuanya selesai dan tetamu pulang dengan rasa syukur.

Ulasan

Catatan Popular