Mansuh Common Law -- Ketua Hakim Negara mahu perundangan lapuk Inggeris diganti

Oleh Zabry Mohamad

PETALING JAYA 21 Ogos – Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim hari ini mencadangkan rujukan kepada Common Law Inggeris dimansuhkan daripada undang-undang sivil negara ini kerana ia menggambarkan minda pengamal undang-undang tempatan yang masih terjajah.

Beliau juga menegur sesetengah pengamal undang-undang yang terus mengguna pakai Common Law Inggeris dalam kes-kes perbicaraan tertentu.


Sambil menyifatkan mereka sebagai ‘katak di bawah tempurung penjajah’, Ahmad Fairuz menegaskan, gejala tersebut tidak seharusnya berlaku selepas 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan.

Menurut beliau, setelah negara merdeka selama lima dekad, pakar-pakar perundangan tempatan seharusnya sudah mampu mewujudkan undang-undang yang lebih bermutu dan sesuai dengan keadaan semasa.

‘‘Sudah 50 tahun kita merdeka, sudah 50 tahun kita terlepas daripada cengkaman penjajah, tetapi Seksyen 3 dan 5 Undang-Undang Sivil 1956 masih kekal dalam perundangan kita.


‘‘Apakah ini petanda bahawa Common Law Inggeris itu adalah undang-undang yang paling baik di dunia? Apakah ini petanda bahawa pakar undang-undang kita masih di bawah tempurung penjajah?’’ soalnya.

Ahmad Fairuz berkata demikian ketika berucap merasmikan seminar mengenai pemikiran ilmiah dan sumbangan Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini.

Turut hadir ialah Pengerusi IKIM, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Pengarah institut itu, Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas.

Menurut Ketua Hakim Negara, kegagalan memartabatkan perundangan sendiri seolah-olah memperlihatkan Malaysia sudah ketandusan kepakaran sehingga terpaksa meminjam daripada Common Law Inggeris sejak tahun 1957.

Katanya, di Malaysia, Common Law Inggeris masih dirujuk dalam kes-kes mahkamah jika tiada akta undang-undang tempatan yang boleh dipakai sebagaimana terkandung dalam Seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956.

Seksyen 3 akta berkenaan memberi laluan kepada mahkamah negara ini untuk mengetepikan Common Law Inggeris, mengutamakannya atau mengambil kira keadaan setempat dalam membuat penghakiman.

Seksyen 5 akta yang sama membenarkan pemakaian seluruh undang-undang perdagangan yang ditadbir di England melainkan jika terdapat undang-undang tempatan.

Ahmad Fairuz memberitahu, sudah tiba masanya kedua-dua seksyen tersebut dipinda dengan memansuhkan semua rujukan kepada Common Law Inggeris dan undang-undang serta kaedah-kaedah ekuiti yang ditadbirkan di England.

Sebagai ganti, menurut beliau, pengamal undang-undang mungkin boleh merujuk kepada keputusan-keputusan mahkamah di negara ini yang mengikut undang-undang tempatan dan memberi keutamaan kepada keadaan di negeri-negeri di Malaysia.

Dalam hubungan ini, beliau mahu pakar undang-undang di Malaysia bersepakat sama ada mahu meneruskan amalan merujuk kepada Common Law.

Jika sebaliknya, tegas beliau, pendekatan baru perlu diambil bagi menggantikan Common Law Inggeris yang dilihat sudah sebati dalam perundangan negara.

Beliau menambah, mungkin juga sudah tiba masanya untuk memartabatkan undang-undang Islam bukan sahaja dalam perundangan negara tetapi juga perundangan antarabangsa.

Sekiranya idea itu diterima, jelas beliau, sudah pasti keharmonian undang-undang sivil dan undang-undang syariah dapat dicetuskan sehingga memberi impak maksimum kepada masyarakat.

Pada majlis itu, Ahmad Fairuz turut melancarkan buku berjudul Permata Pengislahan Perundangan Islam yang merupakan biografi Allahyarham Ahmad Ibrahim.

Ahmad Ibrahim ialah tokoh perundangan yang banyak menyumbang kepada pembangunan perundangan di negara ini khususnya undang-undang Islam.

Beliau merupakan salah seorang peguam dalam perbicaraan kes Natrah, wanita keturunan Belanda yang dibela oleh keluarga Islam dan kemudian dituntut semula oleh keluarga asalnya. Perbicaraan kes Natrah mencetuskan rusuhan di Singapura pada tahun 1950.

Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 82 tahun pada 17 April 1999 merupakan profesor undang-undang di Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Ulasan

Catatan Popular