Kita yang bersalah mengangkat puaka-puaka ini

Presiden Transparency International (TI) Malaysia Tan Sri Ramon Navaratnam mencadangkan agar para pengundi memperkenalkan sistem pemantauan terhadap wakil-wakil rakyat mereka untuk menilai prestasi mereka masing-masing. Beliau mengeluarkan kenyataan ini dalam The Sun dalam memberikan reaksi terhadap kenyataan DYTM Raja Muda Perak semalam.
Dengan cara ini kata Ramon pemimpin-pemimpin yang korap atau memiliki rekod yang tercemar tidak akan berpeluang untuk memimpin rakyat.

Sesungguhnya atas kepala bahu rakyat, yakni kita semualah terletak tanggungjwab bagi memastikan yang hanya pemimpin-pemimpin yang amanah dan bersih sahaja yang akan naik ke atas memimpin kita semua. Tak kiralah jika selera kita terpikat pada calon Umno, DAP, PAS, MCA, MIC, PKR atau siapa pun, yang pentingnya kita tahu, akur dan insaf bahawa memberi amanah kepada buaya dan ular bermakna buaya dan ularlah yang akan memimpin dan mengetuai kita, maka bersedialah menerima padah dan bahananya.

Pemimpin yang menjadi calon tidak boleh dipersalahkan kerana walaupun dia tahu yang wajah buaya dan ular yang ada padanya itu hodoh namun rakyat tak kisah, rakyat terima juga, maka salahkanlah rakyat dan bukan mereka.
Buaya dan ular yang hodoh sudah pasti akan mengunakan apa sahaja muslihat untuk naik ke atas, mereka sedar mereka hodoh dan buta-buta akan ditolak rakyat tetapi mereka punya alat dan umpan untuk menambat hati. Maka mereka taburlah wang, janji, saham, kontrak, yang apabila ditabur terbeliak dan terjojol mata rakyat tadi, seolah terpukau. Tak mengapalah walaupun merbahaya dan hodoh pula, namun asalkan tembolok kita penuh, angkatlah puaka-puaka ini.

Itulah sebenarnya puncanya. Itulah pengalaman kita selama 50 tahun kebelakangan ini. Maka atas kitalah samada nak mengekalkan tradisi ini atau mahu berani menuntut perubahan.


posted by Roslan SMS 1:46:00 PM|Comments

Ulasan

Catatan Popular