Perbicaraan kes bunuh Altantuya ganjil - Mahfuz

KUALA LUMPUR, 13 Jul (Hrkh) - Perbicaraan pembunuhan peniaga antarabangsa yang berpejabat di Hong Kong, Altantuya Shaariibuu menimbulkan persoalan yang tidak berkesudahan dengan pelbagai keganjilan dan misteri, kata Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar.

"Paling menimbulkan persoalan ialah kegagalan pihak pendakwaan untuk mendapatkan saksi yang boleh membantu pendakwaan.


"Setakat ini, saksi-saksi pendakwa termasuk penyiasat persendirian upahan Abdul Razak Abdullah Baginda P. Balasubramaniam, Lans Koperal Rohaniza Roslan dan pegawai latihan di Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman DSP M.V. Sri Kumar tidak menunjukkan pihak pendakwa dapat mengukuhkan kesnya," kata beliau.

Sedangkan, katanya, pihak pendakwa sebelum ini beria-ia menyatakan bahawa mereka mempunyai bukti bahawa dua anggota polis dan penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda telah membuat pakatan dan perancangan untuk membunuh peniaga antarabangsa itu dengan meletupkannya pada malam 19 Oktober tahun lepas.

"Hari demi hari bukti yang didakwa oleh pihak pendakwa itu kelihatan semakin jauh dari menjadi kenyataan," kata Mahfuz.

Malah, katanya, saksi pendakwa sendiri pula yang kelihatan mengecewakan pihak pendakwaan sehingga pihak pendakwa terpaksa membuat laporan polis ke atas Rohaniza yang dianggap memberikan kenyataan yang bercanggah.

"Pihak pendakwa menyatakan mereka mempunyai bukti bahawa anggota polis dan Abdul Razak telah membuat pakatan dan perancangan untuk membunuh Altantuya dengan meletupkan wanita yang didakwa menjadi broker senjata di peringkat antarabangsa itu.

"Sri Kumar pula memberitahu mahkamah bahawa Cif Inspektor Azilah Hadri, tertuduh pertama dalam kes pembunuhan Altantuya tidak pernah menjalani latihan kepakaran bahan letupan. Keterangan Sri Kumar jelas melemahkan dakwaan pihak pendakwa sebelum ini," katanya.

Mahfuz membangkitkan perkara tersebut kerana beliau tidak mahu mempercayai "wujud konsert yang sudah ditentukan skrip dan kesudahannya".

Ulasan

Catatan Popular