Pak Lah sia-siakan peluang dialog dengan Kristian

Oleh Anwar Ibrahim

PEMBATALAN dialog antara agama Islam-Kristian antarabangsa, Building Bridges pada saat-saat akhir amat memalukan memandangkan kerajaan seringkali mendakwa merupakan pentadbiran Islam Hadhari yang sederhana.

Persidangan di Malaysia tersebut sepatutnya menjadi yang keenam di dalam siri Building Bridges, yang dianjurkan untuk mempromosikan dialog dan pemahaman berikutan serangan 11 September 2001.

Sebagai seorang Muslim, saya kesal dengan tindakan kerajaan Malaysia yang langsung tidak menunjukkan rasa hormat kepada Ketua Bishop Canterbury, Dr. Rowan Williams. Beliau telah menjadi pendorong kuat dialog antara agama secara terhormat dan bertanggungjawab dan diakui masyarakat Islam bukan sahaja di Britain malah umat Islam di seluruh dunia. Ini juga menggambarkan sikap kerajaan yang tidak menghormati masyarakat Anglikan tempatan yang membentuk sebahagian dari rakyat Malaysia.

Sebelum ini, negara-negara Islam seperti Qatar dan Bosnia Herzegovina telah menjadi tuan rumah acara ini. Ulama’ dan sarjana Islam terkemuka seperti Allahyarham Dr. Zaki Badawi, Mufti Bosnia Dr. Mustafa Ceric, Dr. Ishtiyaq Ahmad Zilli, Proffesor Mustansir Mir, Professor Azyumardi Azra dan Professor Tariq Ramadan telah turut serta di dalam dialog-dialog Building Bridges sebelum ini.




Ada banyak isu yang disepakati bersama umat Islam dan Kristian. Dengan adanya dialog akan dapat meredakan ketegangan yang timbul dari perbezaan kita. Islam telah lama menyeru umat Islam agar berdialog dengan agama lain, sebagaimana diamalkan kerajaan Abasiyyah di Baghdad sehinggalah kerajaan Andalusia di Cordoba. Apatah lagi umat Islam di Nusantara telah lama diiktiraf di atas hidup mereka yang rukun dan damai dengan masyarakat-masyarakat agama lain.

Sempena sambutan 50 tahun Kemerdekaan Malaysia, pihak berkuasa sepatutnya menganjurkan lebih banyak dialog dan pemahaman di antara pelbagai kaum dan agama di negara ini. Sebaliknya, kerajaan telah menghalang usaha untuk mengadakan dialog secara bertanggungjawab dan positif, sehingga mengeruhkan lagi ketegangan dan salah faham antara rakyat Malaysia.
Peristiwa terbaru ini menunjukkan mereka telah pergi lebih jauh lagi dan mensia-siakan peluang untuk menampilkan tradisi dan warisan Malaysia sebagai negara majmuk dengan menjadi tuan rumah kepada sarjana Islam dan Kristian sederhana di dalam melakar masa hadapan yang positif di dunia yang semakin terpisah.

Ulasan

Catatan Popular