POLIS BENARKAN 5K PENYOKONG DI KAWASAN PARKIR MAHKAMAH

KUALA LUMPUR, 9 Jan — Ribuan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mula berkumpul di kawasan parkir Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dari pagi tadi untuk menunggu keputusan kes liwat ketua pembangkang itu.


Anggota polis yang berkawal di sekitar kawasan mahkamah mula berada di lokasi tersebut sejak jam tiga pagi lagi.

Dengan jumlah peserta yang semakin bertambah, anggota polis yang pada mulanya tidak membenarkan penyokong membawa sepanduk bertulis “Rakyat Hakim Negara”, mula membenarkan mereka membawa sepanduk-sepanduk berkenaan selepas beberapa wakil berbincang dengan pihak berkuasa terbabit.

Namun demikian, atas kepentingan keselamatan, anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas setiap peserta yang membawa beg.

Dalam pemeriksaan tersebut, anggota polis turut merampas kain rentang bertulis “Bebas anwar 901, berhimpun jam tujuh pagi, Mahkamah Jalan Duta, “Tolak Fitnah, Lawan Konspirasi” dan kain rentang bertulis “Lawan Konspirasi” daripada seorang peserta perhimpunan.

Situasi di sekitar kawasan pintu masuk Mahkamah Tinggi masih lagi terkawal walaupun jumlah peserta perhimpunan semakin bertambah.

Peserta perhimpunan berterusan melaungkan slogan “Reformasi” sambil jumlah mereka yang memasuki kawasan perkarangan mahkamah semakin bertambah.

Sementara itu kelihatan juga sebuah helikopter berlegar-legar di kawasan Mahkamah Tinggi Jalan Duta tersebut.

Kumpulan-kunpulan kecil peserta mula bergabung dan berteriak “Takbir”, dan polis masih lagi membenarkan para penyokong Perhimpunan 901 bergerak ke kawasan perkarangan mahkamah.
Kelihatan juga topeng gambar Datuk Seri Anwar diedarkan kepada peserta perhimpunan.

Sekitar jam tujuh pagi, sekitar 1000 ke 1300 peserta mula membanjiri kawasan perkarangan mahkamah untuk menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar.
 
Anggota Jingga 13 juga mula mengeluarkan arahan supaya orang ramai memenuhkan kawasan parkir berkenaan berikutan pihak polis mengehadkan seramai 5000 peserta dibenarkan untuk berada di kawasan berkenaan.

Ulasan

Catatan Popular