NON-MUSLIM BOLEH GUNA KALIMAH ALLAH TAPI TAK BOLEH TERJEMAH

Kalimah Allah boleh digunakan oleh sesiapapun kerana ianya adalah alami (universal), kata Majlis Syura Ulamak PAS dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh Datuk Nik Abdul Aziz dan Datuk Dr Haron Din.
Semalam, Majlis Syura bermesyuarat bagi membincangkan kemelut dan kontroversi terbaru yang melibatkan kalimah Allah hingga mewujudkan polemik serta pelbagai pertikaian oleh banyak pihak.
“Kalimah Allah adalah alami (universal) kerana Allah Tuhan sekalian alam,” kata Majlis Syura.
“Siapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab Jahiliyah yang tidak Islam menyebut Allah lah yang menjadikan alam ini.”
Dalam mesyuarat semalam juga menyaksikan PAS mengambil pendirian membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah tersebut tetapi melarang mana-mana kalimah asing yang hendak diterjemah kepada kalimah Allah.
“Menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan,” kata satu kenyataan Majlis Syura.
“Ini kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata.”
Dalam kenyataan itu lagi, Majlis Syura berharap ia dapat menjelaskan maksud kenyataan oleh Presiden PAS tersebut dan seluruh kepimpinan PAS.

Ulasan

Catatan Popular