INI BARU BETUL... BAYAR RM100 HANYA NAK DENGAR KULIAH UST AZHAR...

AMPANG, 26 Feb: Walaupun terpaksa membayar RM100 setiap seorang, lebih 500 anak-anak Terengganu yang tinggal di Lembah Klang menyertai majlis berkongsi ilmu dengan pendakwah selebriti yang menjadi ikon anak muda, Ustaz Azhar Idrus yang diadakan di Hotel De Palma Ampang, dekat sini, hari ini.
 
Malam tadi, lebih 10,000 orang ramai memenuhi Masjid Bandar Tasik Puteri, Rawang untuk mendengar kuliah dan soaljawab bersama beliau.
 
Malam ini pula, Ustaz Azhar akan bersama penduduk Klang pula apabila beliau akan memberikan kuliah di sebuah masjid di sana.
 
Inilah fenomena biasa yang berlaku kepada pendakwah yang kini sudah menjadi selebriti ini.
 
Program di hotel De Palma yang bermula dari jam 8.30 pagi hingga 2.00 petang itu dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu untuk mengumpul dana bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Sempena program itu, beberapa orang peserta tidak melepaskan peluang bertanya beberapa soalan secara langsung kepada Ustaz Azhar untuk mendapatkan penjelasan mengenai pelbagai perkara dari segi hukum dalam Islam.

Selain itu, beberapa soalan turut dikemukakan oleh mereka menerusi Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Kamarulzaman Abdullah selaku pengerusi sesi soal jawab bersama Ustaz Azhar yang bermula dari jam 10.30 pagi.

Kesemua soalan yang dikemukakan oleh mereka dijawab dengan terperinci oleh Ustaz Azhar berdasarkan dalil aqli dan naqli menepati ketetapan dalam Islam untuk dijadikan panduan para peserta.

Walaupun tidak kesemua peserta berpeluang mengemukakan soalan disebabkan kesuntukan masa, namun kesemua soalan yang dikemukakan dan sempat dijawab oleh Ustaz Azhar tetap mampu memberikan kepuasan kepada para peserta kerana ia turut merangkumi pelbagai aspek.

Sementara itu, Kamarulzaman ketika mempengerusikan sesi soal jawab berkata, beliau bagi pihak penganjur amat berbesar hati kerana dapat mengadakan majlis tersebut.

Disebabkan kesuntukan masa dengan jadual aktiviti dakwah Ustaz Azhar yang ketat, Dewan Pemuda PAS Terengganu hanya diberikan masa selama seminggu oleh pendakwah tersebut untuk mengadakan program itu.

"Dengan masa yang sedemikian singkat menyebabkan persediaan majlis itu tidak dapat diadakan dengan betul-betul sempurna oleh pihak penganjur terutama dari segi publisitinya.
(Sebahagian orang ramai yang menyertai majlis ilmu bersama Ustaz Azhar Idrus di De Palma, Ampang)
"Tetapi saya sangat teruja dengan aura Ustaz Azhar yang boleh menarik kedatangan peserta sebanyak ini sehingga di luar jangkaan pihak penganjur sendiri," katanya.

Selesai majlis, para peserta yang hadir turut mengambil peluang untuk bergambar bersama-sama Ustaz Azhar yang tetap bersedia memenuhi harapan orang ramai, walaupun ternyata amat keletihan disebabkan jadual dakwahnya yang begitu padat setiap hari.

Antara yang hadir pada majlis yang dipengerusikan oleh AJK Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Khalil Abdul Hadi itu termasuklah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohamad Nor, Bendahari Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Adram Musa dan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu yang juga Adun Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah.

Pada majlis tersebut turut diadakan jualan buku yang bertajuk "Ustaz Azhar Idrus Daie Sejuta Ummat" yang ditulis oleh Riduan Mohamad Nor yang juga mendapat sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai.

Ulasan

Catatan Popular